Skip to main
Logo Malaysiakini

Isu hala tuju PAS bersama MN, PN: Presiden tahu di mana 'jerung dan taufan' - Fadhli

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

MUKTAMAR PAS | Ketua Dewan Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari berkata semua pihak tidak seharusnya mempertikaikan hala tuju hubungan PAS bersama Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

Dia dipetik Bernama berkata perkara ini telah diputuskan oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

“Keadaan hari ini bukan masanya untuk berteka teki dengan hala tuju. Kita dalam lautan bergelombang. 

"Bagi mandat kepada presiden. Tidak perlu ramai bercakap tentang hala tuju parti. Bagi kepercayaan kepada satu nahkoda untuk kemudi, sebab beliau tahu di manakah ikan jerung dan taufan.

“Kalau semua nak jadi jururunding. Bimbang ada yang akan jual nama parti kepada pihak lain. 

"Bagi mandat pada Majlis Syura dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat,” katanya ketika berucap dalam sesi penggulungan di Muktamar Tahunan PAS Kali ke-67 di Kuala Terengganu, hari ini.

Semalam, presiden PAS menyuarakan ketegasan bahawa parti itu akan menyokong calon Perikatan Nasional (PN) sekiranya berlaku pertembungan dengan calon Umno dan PN dalam PRN Melaka.

"Strategi PAS pusat yang buat keputusan dan keputusan dibuat kita akan pakai logo PN.

"Kita akan undi PN lah. Pakai simbol sama. Kita tengok Umno pakai simbol apa," kata ahli parlimen Marang itu.

Ahmad Fadhli hari ini juga berkata ketika negara dilanda gelombang politik, PAS menjadi satu-satunya parti yang menonjolkan integriti tinggi, dengan tidak melompat ke parti lain.

Oleh demikian, dia menyarankan perwakilan dan pemimpin PAS terus mempertahan serta ‘turun padang’ di kawasan masing-masing.

“Kita mesti terima hakikat pada PRU15 bermula dari umur 18 tahun. Kita akan beri fokus untuk mereka dan perlu ada agenda sesuai, sama ada lelaki atau perempuan.

"Kita mesti rancang program yang jelas untuk tarik mereka,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat Dr Rosni Adam (gambar, bawah) dalam ucapan penggulungannya PAS perlu memberi peluang dan menampilkan lebih ramai calon wanita dalam PRU15.

“Kita lihat calon wanita dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hanya seorang daripada lapan calon, hanya 12.5 peratus.

“Saya yakin insya-Allah, dalam PRU15 nanti peratus ini akan bertambah. Berilah kami peluang untuk membantu memperjuangkan agama Allah ini melalui gerakan wanita, sebab kita tahu hampir 50 peratus pengundi di luar sana adalah wanita tidak kira umur,” katanya hari ini.

Dr Rosni berkata sekiranya PAS mahu meletakkan calon wanita muda, pihaknya sedia bekerjasama dan akan menampilkannya mengikut kriteria yang ditetapkan.

“Nak calon wanita muda, kita boleh bagi calon wanita muda. Kita yang berumur ini boleh berundur jika nak muka-muka segar...kerana tangan yang menghayun buaian mampu mempertahankan Malaysia,” katanya lagi.

Muktamar PAS bertemakan Islam Menyatukan Ummah bermula semalam dan hari ini berlangsung secara hibrid.

Seramai 694 daripada 1,546 perwakilan hadir secara fizikal manakala selebihnya secara maya.

Perwakilan negeri berada di negeri masing-masing kecuali perwakilan dari Terengganu, Kelantan dan Pahang, serta kesemua 197 Yang Dipertua PAS kawasan yang hadir secara fizikal.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS Senator N Bala Subramaniam mengingatkan pemimpin dan ahli, supaya terus berwaspada dengan maklumat yang diperolehi bagi mengelak salah faham.

“Maklumat yang diperoleh perlu diselidik kesahihannya terlebih dahulu sebelum disebarkan kepada pihak lain, perlu berhati-hati.

"Tujuan saya membawa perkara ini adalah kerana kepesatan dunia media sosial yang memungkinkan berlaku salah faham dan membawa keruntuhan parti PAS, pada masa akan datang,” katanya.