Skip to main
Logo Malaysiakini

Norhizam umum pertahan DUN Pengkalan Batu atas tiket bebas

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PRN MELAKA | Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu Datuk Norhizam Hassan Baktee hari ini mengumumkan akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan atas tiket bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 Nov ini.

Beliau yakin dapat menawan semula kerusi berkenaan berdasarkan penerimaan penduduk di kawasan itu yang mengenalinya sebagai pemimpin berjiwa rakyat, selain mempunyai petunjuk prestasi utama (KPI) yang baik.

"Saya berjanji pada diri saya akan terus berkhidmat dan menabur bakti, jiwa dan raga saya kepada semua penduduk di DUN Pengkalan Batu.

"Doakan saya menang, beri mandat kepada saya dan saya akan teruskan khidmat sebagai Yang Berhormat seperti mana saya lakukan sebelum ini.

"Saya yakin 80 peratus undi akan memihak kepada saya pada PRN Melaka nanti kerana saya telah turun padang menyantuni rakyat sejak lebih tiga tahun lepas dan dalam tempoh itu pelbagai masalah atau isu kebajikan rakyat dapat saya selesaikan," katanya pada sidang akhbar di bilik gerakannya di Melaka, hari ini.

Norhizam berkata selain isu kebajikan dan bantuan makanan, kira-kira 70 peratus masalah berkaitan perparitan yang menyebabkan banjir kilat di DUN Pengkalan Batu berjaya diselesaikannya.

Mengulas keputusan bertanding tiket bebas, beliau berkata ia bagi membuktikan bahawa wakil rakyat daripada Bebas mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat, selain tidak terikat dengan apa-apa syarat atau kekangan parti.

"Sebelum ini, saya ada menerima tawaran untuk bersama empat parti politik lain tetapi saya lebih selesa bergerak sendiri, kalau hendak masuk rumah orang lain banyak 'bunyi'. Contohnya, saya nak masuk Pakatan Harapan, tetapi DAP pula tidak setuju," katanya.

Sementara itu, mengulas logo yang akan digunakannya, beliau memilih beberapa logo tetapi menyerahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukannya.

Ketika ditanya mengenai lawan daripada parti lain yang akan ditentangnya di DUN tersebut, beliau berkata ia tidak menjadi masalah kerana calon DAP bukan anak tempatan dan merupakan calon 'payung terjun', manakala calon BN pemimpin lama yang baru pertama kali bertanding pada pilihan raya.

Pada PRN Melaka, Norhizam dijangka menghadapi saingan empat penjuru daripada calon DAP Danish Zainudin, calon UMNO Datuk Kalsom Nordin dan seorang calon daripada Perikatan Nasional (PN).

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lepas, Norhizam yang bertanding atas tiket DAP, menang dengan majoriti 2,756 undi menewaskan Chua Lian Chye (Barisan Nasional) dan Ramli Dalip (PAS).

- Bernama