Skip to main
Logo Malaysiakini

Keputusan PRN Melaka akan jadi perancangan masa depan PAS

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

MUKTAMAR PAS | PAS yakin keputusan pilihan raya negeri (PRN) Melaka akan menjadi sebahagian perancangan masa depan parti itu.

Malah menurut timbalan presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man, parti itu akan memperkasakan kekuatan bersama Perikatan Nasional (PN).

"Kita akan perkasa kekuatan parti kita bersama PN sebab PAS komponen PN dan saya yakin keputusan di Melaka akan juga menjadi sebahagian perancangan masa depan.

"Saya fikir banyak pihak nak tengok keputusan di Melaka sebagai indikatornya," katanya pada sidang media sebaik berakhirnya Muktamar PAS ke-67 di Kuala Terengganu, hari ni.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hala tuju PAS di masa hadapan.

Sementara itu, ditanya mengenai hubungan dengan Umno selepas berlaku pertembungan dalam PRN Melaka, Tuan Ibrahim berkata dalam konteks sebagai kerajaan hubungan kerjasama akan berjalan seperti biasa.

"Dalam konteks kerajaan kita berjalan macam biasa tiada masalah (dengan Umno) dan perdana menteri umum bahawa parti bertanding dalam konteks parti, semua program kerajaan tidak berjalan dalam tempoh kempen di Melaka.

"Sebab dalam kerajaan ada menteri dan timbalan menteri dari parti berlainan, jadi yang turun kempen kali ini dihadkan tak banyak secara fizikal boleh dibuat, perjalanan kerajaan tak ada masalah. Berjalan macam biasa kita harap tak ada isu tak diingini berlaku," katanya.

Tambah menteri alam sekita dan air itu, susulan perkembangan di Melaka, PAS juga tidak berhasrat untuk keluar daripada kerjasama Muafakat Nasional (MN).

"Tak ada siapa nak keluar MN kecuali dibubarkan, dan sehingga setakat ini tiada niat nak bubarkan.

"Saya fikir MN agenda besar macam saya sebut semalam ialah penyatuan umnah, ia bukan parti berdaftar tetapi gabungan dan kita harap berbalik pada asal, terbuka dan termasuk menerima NGO dalam MN.

"Tapi walau pun apa berlaku Umno akan bertanding atas tiket BN dan kita harap pertemuan dan perbincangan akan dibuat dari semasa ke semasa," jelas Tuan Ibrahim.