MOF: Sewa bulanan Vellfire lebih murah dari Perdana
Kementerian Kewangan berkata kerajaan memutuskan untuk menggantikan kenderaan rasmi Proton Perdana untuk menteri dengan Toyota Vellfire kerana kos sewa bulanan lebih murah.
"Berikutan pelbagai perbincangan mengenai pertukaran kenderaan rasmi jawatan (KRJ) di dalam media sosial, Kementerian Kewangan (MOF) ingin memaklumkan bahawa keputusan kerajaan supaya kereta model Toyota Vellfire 2.5L digunakan sebagai KRJ bagi menteri-menteri persekutuan telah dibuat bagi menggantikan model Proton Perdana 2.4 Premium yang telah ditamatkan pengeluarannya pada tahun 2014.
"Keputusan pertukaran KRJ ini juga dibuat antara lainnya berdasarkan kos sewaan bulanan Toyota Vellfire 2.5 lebih rendah daripada kos sewaan bulanan Proton Perdana 2.4 Premium," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengikut harga yang disediakan oleh Kementerian Kewangan, kos bulanan Toyota Vellfire 2.5L ialah RM4,851.61 manakala Proton Perdana 2.4 Premium ialah RM4,854.41 sebulan.
Ini bermakna penjimatan sebanyak RM2.80 setiap kenderaan sebulan.
Kementerian Kewangan berkata rancangan untuk menggantikan Proton Perdana telah dibuat sejak zaman kerajaan terdahulu.
"Tetapi ia ditangguhkan dan hanya dilaksanakan tahun ini," katanya.
Kementerian Kewangan turut berkata Proton Perdana sedia ada sudah berusia enam tahun.
Ia menambah bahawa penggantian kenderaan menteri sepatutnya dilakukan setiap empat tahun.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai