Skip to main
Logo Malaysiakini

Shahidan diingatkan tak sekadar 'tuding jari' isu larangan jual minuman keras

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Tujuh ahli parlimen Pakatan Harapan (PH) menggesa Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim supaya tidak sekadar menuding jari mengenai isu larangan penjualan minuman keras di premis tertentu di Kuala Lumpur.

Mereka berkata Shahidan telah mendakwa larangan itu adalah keputusan Lembaga Pelesenan Eksais, yang mempunyai ahli lembaga bukan Islam.

“Kami terkejut kerana Shahidan memilih untuk menuding jari kepada Lembaga Pelesenan Eksais dan bukannya bercakap benar dan membantu menyelesaikan keadaan dengan menarik balik larangan itu.

"Malah, Lembaga Pelesenan Eksais ini adalah agensi kerajaan di bawah kementerian Shahidan. Ini bermakna menteri mempunyai kuasa untuk mengubah atau meminda sebarang keputusan yang salah," kata tujuh Ahli Parlimen PH itu dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Ahli Parlimen yang mengeluarkan kenyataan itu termasuk Tan Kok Wai (DAP-Cheras), Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang), Teresa Kok (DAP-Seputeh), Lim Lip Eng (DAP-Kepong), Hannah Yeoh (DAP-Segambut), Tan Yee Kew (PKR-Wangsa Maju), dan P Prabakaran (PKR-Batu).

Mereka berkata mereka telah berhubung dengan Shahidan mengenai larangan ini sejak dia menjadi menteri wilayah persekutuan.

“Dia (Shahidan) malah sudah berulang kali berjanji kepada kami bahawa dia akan mengeluarkan arahan penjualan arak secara ‘menang-menang’.

"Bagaimanapun, arahan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Perniagaan DBKL pada 1 Nov 2021 bukanlah penyelesaian 'menang-menang'," kata mereka.

Mereka menyifatkan larangan itu sebagai "tidak adil" dan serangan langsung terhadap perniagaan dan hak pengguna bukan Islam.

Mereka berkata mereka telah memberitahu Shahidan bahawa kedai runcit dan dewan perubatan Cina di Kuala Lumpur dianggap sebagai perniagaan kecil dan sederhana dengan keuntungan yang rendah.

“Penjualan arak kepada bukan Islam di kedai-kedai ini merupakan antara punca pendapatan utama mereka,” kata mereka.

Bukan itu sahaja, mereka menambah bahawa larangan penjualan minuman keras seperti itu akan menggalakkan lebih banyak perdagangan haram minuman keras dan penjualan minuman keras tidak berlesen di bandar ini.

Tahun lalu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan satu set garis panduan yang mengenakan larangan penjualan alkohol di kedai runcit, kedai serbaneka serta kedai ubat Cina.

Peraturan baru itu sepatutnya berkuat kuasa pada 1 Okt tetapi DBKL menangguhkannya pada malam sebelum pelaksanaan.

Semasa penangguhan selama sebulan itu, DBKL berkata ia telah berunding dengan pelbagai pihak berkepentingan mengenai perkara itu. Garis panduan terbaru dikeluarkan 1 Nov lalu.

Dalam garis panduan itu, DBKL turut menanggapi kebimbangan yang dibangkitkan oleh kedai ubat Cina, menyatakan mereka akan dibenarkan menjual produk ubat berasaskan arak selagi ia mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan.