Skip to main
Logo Malaysiakini

Mas Ermieyati: Dengan SOP ketat, calon baru berdepan cabaran besar

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PRN MELAKA | Calon Perikatan Nasional (PN) DUN Tanjung Bidara, Mas Ermieyati Samsudin membangkitkan kebimbangan berhubung kesan SOP Covid-19 yang ketat bagi pilihan raya kali ini.

Dia berkata, ia mungkin akan menjejaskan peluang calon yang baru kali pertama bertanding.

Mas Ermieyati yang juga ahli parlimen Masjid Tanah, berkata mereka yang belum dikenali mungkin berdepan kesukaran untuk memperkenalkan diri kepada pengundi ketika kempen, memandangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melarang calon untuk berjumpa pengundi secara terus.

Menurut salinan SOP yang dikongsikannya, calon dan parti politik dilarang membuat sebarang ceramah, walkabout dan kunjungan ke rumah.

Ketiga-tiganya adalah kaedah kempen biasa pada setiap pilihan raya sebelum wabak Covid-19 melanda Malaysia pada tahun lalu.

SPR hanya membenarkan calon ke rumah tetapi hanya untuk meletakkan risalah ke dalam peti surat. Kegiatan itu hanya dibenarkan dijalankan seramai tidak lebih tiga orang dan mereka tidak dibenarkan bercakap dengan orang awam.

"Saya kira ini cabaran besar untuk calon baru sebab mereka harus perkenalkan diri dengan lebih banyak lagi (kepada pengundi).

"Ia beri kelebihan kepada nama-nama yang sudah lama dalam pentas politik," katanya ketika sidang media di bilik gerakan PN Tanjung Bidara hari ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu juga berseloroh tentang SOP yang hanya membenarkan kempen dibuat menerusi pembesar suara pada kenderaan.

Bagaimanapun, kenderaan itu mesti sentiasa bergerak dan dilarang berhenti di mana-mana tempat.

"Lagi banyak lampu isyarat, lagi bagus," selorohnya.

Syarat lain yang ditetapkan SPR adalah setiap calon perlu menjalankan ujian Covid-19 setiap dua hari, dan setiap parti hanya boleh membuka satu bilik gerakan di setiap DUN.

Mas Ermieyati berkata dia akan memberi tumpuan kepada platform media sosial untuk menyampaikan mesejnya kepada pengundi di Tanjung Bidara.

Ditanya berkenaan peluang kemenangannya, memandangkan dia berdepan Pengerusi Umno Melaka Ab Rauf Yusoh, Mas Ermieyati berkata dia akan menyerahkan kepada para pengundi untuk menilai pencapaiannya sebagai ahli parlimen Masjid Tanah.

"Ramai kata ini kubu kuat BN. Tetapi dalam pertandingan, semua orang ada peluang.

"Dan kita haru guna kebijaksanaan dan paling penting, terpulang kepada pengundi sendiri untuk menilai pencapaian saya sebagai ahli parlimen dan bagaimana mereka menilai khidmat saya, dan apa harapan mereka," katanya lagi.

Ini merupakan penggal kedua Mas Ermieyati menjadi ahli parlimen Masjid Tanah. Bagaimanapun, dua kemenangannya itu, iaitu pada 2013 dan 2018, adalah ketika masih bersama Umno.