Skip to main
Logo Malaysiakini

Keputusan Adly cabar pembubaran DUN Melaka 10 Nov

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pada 10 Nov ini, bekas ketua menteri Melaka Adly Zahari akan mengetahui sama ada dia akan mendapat kebenaran mahkamah atau tidak untuk membatalkan pembubaran DUN bulan lalu.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan tarikh keputusan bagi permohonan kebenaran memulakan semakan kehakiman terhadap keputusan membubarkan DUN Melaka.

Hakim Noorin Badaruddin menetapkan tarikh penghakiman itu selepas mendengar hujahan daripada peguam Razlan Hadri yang mewakili Adly dan peguam kanan persekutuan S Narkunavathy.

Narkunavathy mewakili empat responden dalam kes itu iaitu bekas ketua menteri Melaka Sulaiman Md Ali, bekas speaker DUN Ab Rauf Yusoh, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), dan Yang Dipertua Negeri Melaka Mohd Ali Rustam.

Hari ini, penamaan calon bagi pilihan raya Melaka, dengan pengundian pada 20 Nov. Adly menjadi calon bagi kerusi DUN Asahan atas tiket Pakatan Harapan.

Pada 22 Okt lepas, Adly memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman untuk membatalkan pembubaran DUN.

Hari ini, ditetapkan untuk pendengaran di hadapan Noorin mengenai permohonan ahli politik itu untuk kebenaran meneruskan semakan kehakiman.

Kesahihan nasihat Sulaiman

Pada 4 Oktober, empat Adun yang diketuai oleh Adun Umno Sungai Udang, Idris Haron, mengumumkan keputusan mereka untuk menarik balik sokongan kepada Sulaiman.

Tiga yang lain ialah Nor Azman Hassan (Umno-Pantai Kundor), Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

Susulan itu, Sulaiman kehilangan majoriti dan Ali membuat keputusan untuk membubarkan DUN, membuka jalan untuk pilihan raya negeri pada 20 November.

Semakan kehakiman itu menyasarkan keabsahan nasihat Sulaiman kepada Ali untuk membubarkan DUN Melaka.

Adly memohon mahkamah beberapa pengisytiharan, antaranya untuk mengisytiharkan tindakan, pada atau sekitar 4 Oktober, untuk membubarkan dewan perundangan keempat belas Melaka sebagai tidak sah, menurut kepada Perkara 19 (2) perlembagaan negara, kerana Sulaiman telah hilang majoriti sebelum memberi nasihat itu.

Adly juga meminta pengisytiharan bahawa nasihat Sulaiman kepada Ali pada atau sekitar 4 Oktober untuk membubarkan DUN Melaka, batal dan tidak sah kerana dilakukan bukan hanya dalam mala fide (dalam niat buruk), tetapi juga tidak masuk akal dan tidak rasional kerana Covid-19 yang berterusan.

Adly meminta pengisytiharan bahawa pewartaan pembubaran itu batal kerana Ali didakwa tidak mengetahui bahawa Sulaiman tidak lagi mempunyai majoriti dewan, ketika nasihat itu diberikan.

Dia juga meminta perintah untuk membatalkan arahan SPR yang dikeluarkan pada 18 Oktober, untuk mengadakan pilihan raya negeri (PRN) Melaka.