Skip to main
Logo Malaysiakini

PH gesa menteri beri ruang media rasmi pada semua parti

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pakatan Harapan menggesa Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Annuar Musa untuk memberi ruang media rasmi seluasnya kepada semua parti yang bertanding di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka secara adil dan saksama.

Jawatankuasa Komunikasi, Digital dan Multimedia PH pada kenyataan bersama hari ini berkata gesaan berkenaan selepas mengambil kira larangan semua aktiviti berkempen yang melibatkan pertemuan antara calon dan pengundi secara fizikal, termasuk ceramah, ziarah rumah ke rumah dan aktiviti ‘walkabout’.

"Kempen secara tradisional tidak lagi dibenarkan. Namun berkempen sepenuhnya secara media sosial juga belum dapat dilaksanakan dengan lancar.

"Para pengundi yang tinggal di kawasan dengan capaian internet atau telekomunikasi yang tidak baik, atau tidak mempunyai telefon pintar, atau tidak fasih media sosial, bakal tertinggal dari menerima maklumat tepat dan terkini dari calon parti-parti yang bertanding.

"Mereka sudah pasti mempunyai akses kepada saluran maklumat yang lebih tradisional seperti radio, televisyen, dan surat khabar. Ini akan mengakibatkan kesenjangan akses maklumat serta ketempangan amalan demokrasi yang wajib diatasi," katanya dalam kenyataan bersama itu.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (Ahli Parlimen Lembah Pantai-PKR), Khalid Samad (Ahli Parlimen Shah Alam, Amanah), Hannah Yeoh (Ahli Parlimen Segambut- DAP), Wong Shu Qi (Ahli Parlimen Kluang- DAP), Chan Ming Kai (Ahli Parlimen Alor Setar-PKR), Soraya Salim - Setiausaha Angkatan Wanita Amanah dan Loh Ker Chean (Pengarah Komunikasi Wanita PKR).

PH juga menyarankan Annuar Musa agar memberi ruang sekurang-kurangnya 30 minit bagi setiap parti, setiap malam untuk berceramah di TV1, TV2 dan Bernama TV dan memberi ruang sekurang-kurangnya 60 minit bagi setiap parti, setiap hari untuk berceramah menggunakan Melaka FM dan Bernama Radio.

Selain itu, mereka turut meminta program forum perdana membariskan wakil setiap parti diadakan sekurang-kurangnya sekali melalui saluran TV dan radio rasmi sepanjang tempoh kempen PRU DUN Melaka.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini berkata penganjuran ceramah, syarahan, kempen secara fizikal adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengerusinya, Abdul Ghani Salleh pada sidang media selepas proses penamaan calon hari ini meminta semua pihak yang terlibat dengan PRN Melaka mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 bagi PRN Melaka yang disenaraikan dalam portal SPR, dan menurutnya semua SOP itu diluluskan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) semalam.

Dia berkata ketika PRN Melaka antaranya tidak dibenarkan kempen ziarah rumah ke rumah, aktiviti tinjauan mesra (walkabout) dan pengedaran risalah kepada orang awam secara bersemuka.

Sementara itu, berdasarkan kenyataan Abdul Ghani di portal berkenaan, SOP itu menetapkan bahawa calon dan atau jentera pilihan raya dibenarkan untuk memasang sepanduk dan gegantung di dalam kawasan pilihan raya, mengedar risalah bagi tujuan berkempen di peti-peti surat penduduk sekitar dengan mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter.