Duyong cetuskan drama keluarga untuk dinasti politik Gan
Pilihan raya negeri Melaka kali ini mencetuskan drama kekeluargaan bagi dinasti politik Gan di Melaka yang telah melahirkan barisan ahli politik MCA yang terkenal di negeri berkenaan.
Ini susulan seorang ahli keluarga itu, Gan Tian Soh, yang memutuskan untuk bertanding sebagai calon bebas di Duyong.
Ini di sebalik keputusan MCA menyerahkan kerusi berkenaan kepada Umno dalam pilihan raya Melaka yang ditetapkan pada 20 Nov ini.
Abangnya, Gan Tian Loo yang juga pengerusi MCA Kota Melaka memberi amaran bahawa keluarganya tidak akan memberi sebarang undi untuk adiknya itu.
"Saya sudah jelaskan. Saya dan keluarga tidak akan mengundinya," kata Tian Loo dipetik sebagai berkata oleh Sin Chew Daily.
Tian Loo berkata keluarganya tidak mengetahui Tian Soh akan bertanding pada pilihan raya kali ini dan mereka terkejut apabila mendapat tahu mengenainya selepas proses penamaan calon hari ini.
Menurutnya, MCA akan mengambil tindakan disiplin terhadap Tian Soh.
Tian Loo dan Tian Soh adalah anak kepada juara bina badan yang kemudiannya menceburi bidang politik dan menjadi terkenal, Gan Boon Leong.
Boon Leong adalah nama yang tidak asing di Melaka, dan telah memenangi pelbagai kejohanan bina badan.
Penceburannya dalam politik MCA juga agak prolifik. Boon Leong dikenali sebagai tokoh penting yang menerajui penciptaan Jonker Walk yang terkenal di Melaka dengan arcanya dari zaman bina badannya masih berdiri.
Kerusi DUN Duyong semacam menjadi urusan keluarga dinasti politik Gan.
Boon Leong adalah Adun Duyong dari 1995 hingga 2004, dengan anaknya Tian Loo kemudian menggantikannya.
Tian Loo adalah Adun Duyong dari 2004 hingga 2013.
Pada 2013, dia dikalahkan oleh DAP, kali pertama kerusi itu jatuh kepada pembangkang.
Tian Loo tidak bertanding di kerusi itu pada pilihan raya umum 2018. MCA meletakkan calon lain - Lee Kiat Lee, yang juga tewas kepada calon DAP.
Pada pilihan raya negeri Melaka akan datang, MCA memutuskan untuk menyerahkan kerusi itu kepada Umno.
Adik Tian Loo, Tian Soh akan berdepan dengan calon Pakatan Harapan Damian Yeo daripada DAP dan Mohd Noor Helmy dari Umno yang mewakili BN.
Calon lain adalah Kamarudin Sidek dari PN yang juga adalah pengerusi PAS Melaka, Mohd Faizal dari Putra dan seorang lagi calon bebas Muhamad Hafiz Ishak yang bertanding di bawah logo "kunci".
Tian Soh akan menggunakan logo "arnab".
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai