Skip to main
Logo Malaysiakini

KATA MP | Di hari undi, jiwai ‘semangat Selamatkan Bukit Cina’

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ismail Sabri adalah perdana menteri paling lemah dalam sejarah negara. Beliau tidak mampu mencerap realiti berkenaan pilihan raya negeri Melaka yang mampu memberikan kesan besar terhadap Malaysia untuk tahun-tahun mendatang.

Hari ini adalah hari pencalonan pilihan raya Melaka. Ia menyaksikan pertembungan pelbagai penjuru -- antara Pakatan Harapan (PH) dan parti-parti dalam kerajaan, malah antara Perikatan Nasional (PN) dan BN.

Tiada siapa yang dapat meramal apa yang akan berlaku di hari pengundian pada 20 November 2021.

Negara sedang dalam fasa mencari-cari persamaan dan keseimbangan dalam landskap politik baharu selepas dua peristiwa penting baru-baru ini:

(i) Kejatuhan kerajaan Umno-BN pada pilihan raya umum 2018; dan

(ii) Konspirasi Langkah Sheraton pada Februari 2021 yang menggulingkan kerajaan PH yang dipilih secara sah menerusi proses demokrasi selepas 22 bulan mentadbir, sedangkan ia mempunyai mandat lima tahun, sekali gus membawa masuk kerajaan pintu belakang, tidak sah dan tidak demokratik.

Pilihan raya umum ke-14 (PRU14) memusnahkan hegemoni politik Umno yang telah disalahgunakan berdekad-dekad lamanya.

Namun konspirasi Langkah Sheraton menyebabkan proses demokrasi menjadi haru-biru.

Dan sejak daripada peristiwa itu, negara berada pada fasa mencari-cari persamaan dan kesimbangan bagi mencapai matlamat Impian Malaysia untuk menjadikan negara ini hebat dan bertaraf dunia.

Sejurus selepas Covid-19 yang berlarutan 22 bulan memaksa pembentukan norma baharu dalam kehidupan sosial dan ekonomi rakyat Malaysia, negara masuk ke dalam fasa mencari norma baharu dalam politik Malaysia pasca PRU-14 dan peristiwa Langkah Sheraton.

Kini, kita berdepan dengan situasi politik tiada satu pun parti politik boleh menggunakan kuasa hegemoni, kerana zaman satu-satu parti boleh membentuk kerajaan dengan majoriti mudah telah berakhir.

Era setiap parti politik membentuk kerjasama yang bermakna telah bermula, dan semua parti-parti politik harus belajar bekerjasama antara satu sama lain bagi membentuk sebuah negara hebat bertaraf dunia.

Tiga penggal di Melaka

Ini bukan untuk kepentingan peribadi atau demi menjulang imej parti, sebaliknya bagi menegakkan prinsip keadilan, kebebasan, kesejahteraan untuk semua rakyat Malaysia supaya Malaysia mampu menjadi negara hebat bertaraf dunia dan mengelakkan Malaysia terjerumus menjadi kleptokrasi, kakistokrasi dan negara gagal.

Saya dipertanggungjawabkan oleh DAP untuk merintis perjuangan di Melaka pada 1969, dan merupakan ahli parlimen Bandar dan kemudian untuk Kota Melaka selama tiga penggal -- pada 1969, 1974 dan sekali lagi pada 1982.

Pada era 70-an dan 80-an, Melaka disebut-sebut bakal memacu Malaysia ke arah menjadi negara hebat bertaraf dunia, yang memanfaatkan nilai-nilai murni empat tamadun hebat -- Melayu/Islam, Cina, India, Barat -- yang menjadi titik pertemuan di Malaysia.

Sejak itu, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Johor antara negeri yang dilihat mampu menjadi pemangkin untuk memacu Malaysia ke arah menjadi negara hebat bertaraf dunia. Kini, Melaka kembali dilihat sebagai negeri yang mampu untuk merintis jalan untuk Malaysia menerusi pilihan raya negeri.

Saya tidak bersetuju dengan sahabat saya, Paul Siah yang menyifatkan pilihan raya negeri di Melaka, negeri kedua terkecil di negara ini, tidak penting.

Sebaliknya, saya percaya pilihan raya negeri Melaka dan Sarawak menjadi semacam pemanas badan untuk kita menghadapi pilihan raya umum ke-15 bagi menentukan sama ada matlamat Impian Malaysia bagi menjadikan Malaysia negara hebat bertaraf dunia telah berakhir dan tiada lagi jalan untuk Malaysia menjadi negara hebat yang memanfaatkan kepelbagaiannya.

Malah, keputusan pilihan raya negeri Melaka dan Sarawak bakal menentukan sama ada memorandum persefahaman (MOU) kepercayaan, perbekalan dan reformasi (CSR) yang ditandatangani antara Ismail Sabri dan empat pemimpin PH pada 13 September 2021 harus dimansuhkan dan PRU-15 diadakan tahun hadapan.

Terdapat begitu banyak memori yang tidak dapat dilupakan sepanjang saya menjadi ahli parlimen Bandar/Kota Melaka, dan permulaannya adalah “kempen Selamatkan Bukit Cina”.

Bukit Cina

Ia dianggap sebagai usaha yang gagal, kerana mana mungkin kerajaan Melaka akan mengambil keputusan untuk menghentikan kerja-kerja memusnahkan 12,500 kubur di atas kawasan perkuburan 360 tahun bagi tujuan pembangunan komersial kerana keputusan untuk melaksanakan projek itu diputuskan sejak 1984 lagi?

Pun begitu, kita akhirnya berjaya -- selepas melaksanakan kempen berterusan, yang menarik perhatian masyarakat pelbagai kaum dan agama di seluruh negara bagi mempertahankan tapak warisan sejarah -- termasuk laluan pejalan kaki sepanjang 35km dari Pulau Sebang ke Bukit Cina.

Saya menyeru rakyat Melaka untuk menjiwai ‘semangat Selamatkan Bukit Cina’ di hari pengundian nanti, bagi menyelamatkan Malaysia daripada menjadi sebuah kleptokrasi, kakistokrasi dan negara gagal, sekali gus memanfaatkan potensi kita untuk menjadi negara hebat bertaraf dunia.


LIM KIT SIANG ialah anggota parlimen Iskandar Puteri. Tulisan ini daripada kenyataan dalam pelancaran buku Lim Kit Siang – Patriot, Leader, Fighter nukilan Liew Chin Tong di Ayer Keroh, Melaka pada 7 November.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.