Skip to main
Logo Malaysiakini

MP gesa tambah peruntukan untuk Jabatan Audit, luaskan skop

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir menggesa kerajaan menambah peruntukan untuk Jabatan Audit Negara dan meluaskan skopnya supaya dapat menjalankan audit terhadap syarikat konsesi yang turut mengendalikan dana kerajaan.

"Sebagai contoh, peruntukan Jabatan Audit Negara bagi tahun 2022 telah dipotong sebanyak RM4 juta kepada RM154 juta.

"Jangan kita lupa jasa Jabatan ini yang membongkarkan kes-kes rasuah seperti 1MDB, NFC dan kapal LCS yang sehingga kini masih bermasalah.

"Malah saya ingin mengusulkan dana tambahan diberikan supaya skop Jabatan Audit Negara diperluaskan kepada syarikat-syarikat yang menguruskan dana kerajaan seperti syarikat-syarikat konsesi,” kata Akmal semasa membahaskan Bajet 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

Akmal memberikan contoh di Johor, terdapat 8 syarikat konsesi yang hampir monopoli keseluruhan kerja-kerja penyelenggaraan jalan raya.

Dia mempersoalkan apakah keistimewaan sebuah syarikat yang menerima kontrak konsesi penyelenggaraan jalan di bawah Sistem Maklumat Rekod Jalan Malaysia (Marris) di Johor bernilai RM350 juta tahun lalu.

Akmal mendakwa syarikat itu hanya mempunyai modal RM1 juta tetapi menerima lebih RM1 bilion kontrak kerajaan dalam tempoh tiga tahun.

Dia juga mendakwa syarikat itu tidak mempunyai pengalaman dan hanya memiliki seorang pemegang saham, yang juga merupakan satu-satunya pengarah syarikat.

Pada Feb lalu, dilaporkan Adun Senggarang, Ir Khairuddin A Rahim membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung konsesi penyelenggaraan jalan di Johor.

Dia berkata kontrak konsesi yang diperolehi melalui Marris itu seperti monopoli yang boleh menyebabkan kontraktor bumiputera yang lebih kecil muflis.

Malaysiakini telah cuba menghubungi syarikat berkenaan berhubung dakwaan tersebut.

Akmal berkata, apabila diswastakan sepatutnya kos menjadi lebih efektif dan murah.

"Namun, melalui kaedah konsesi ini, bukan hanya di Johor tetapi juga di beberapa negeri lain, harga sebenar yang dibayar oleh kerajaan adalah meningkat berbanding dengan kaedah pengurusan tender yang dibuat sebelum wujud syarikat konsesi ini," katanya.

Bukan itu sahaja, dia juga mendakwa syarikat konsesi ini mengagihkan kontrak kepada kontraktor yang lebih kecil dengan harga yang lebih rendah berbanding jika diterima daripada Jabatan Kerja Raya.

"Apakah istimewa syarikat ini seperti orang kayangan, boleh untung makan atas angin? Kenapa ada orang tengah yang kaut laba kekayaan?"soalnya.