Skip to main
Logo Malaysiakini

Peguam: Pendengaran rayuan Nagaenthran esok tergesa-gesa, nafi proses wajar

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pendaftar mahkamah Singapura telah menetapkan jam 2.30 petang esok untuk mendengar rayuan Nagaentran K Dharmalingam terhadap hukuman matinya bagi sabitan mengedar dadah, menurut peguamnya di Malaysia.

Pada masa sama, N Surendran berkata Mahkamah Rayuan juga menetapkan jam 2.30 petang esok untuk mendengar permohonan baru oleh peguam Singapura Nagaenthran untuk penilaian psikiatrik terhadap keadaan mental anak guam mereka yang semakin merosot.

"Sungguh luar biasa dan tidak munasabah Mahkamah Rayuan telah mengarahkan pada lewat petang tadu bahawa hujahan bertulis dan afidavit mesti difailkan selewat-lewatnya pukul 10 pagi pada 9 Nov.

"Tiada peguam yang boleh dijangka secara munasabah memfailkan hujahan bertulis dan menyediakan serta memfailkan afidavit (dalam tempoh) semalaman," kata Surendran pada satu kenyataan malam ini.

"Arahan mahkamah yang tidak munasabah dan tergesa-gesa ini untuk kedua-dua perbicaraan didengar dalam masa kurang dari 24 jam adalah sama dengan penafian terang-terangan proses wajar kepada Nagaenthran yang bertentangan dengan Perkara 9 Perlembagaan Singapura.

Gesa peguam diberi masa

"Tiada sistem keadilan jenayah di mana-mana negara yang menegakkan kedaulatan undang-undangnya tergesa-gesa mengendalikan rayuan jenayah dengan cara ini; dan lebih-lebih lagi dalam kes hukuman mati," tambahnya.

Surendran seterusnya menyoal jika proses tergesa-gesa untuk mendengar rayuan Nagaenthran ini merupakan percubaan untuk meneruskan hukuman matinya pada 10 Nov, walaupun selepas mendapat bantahan orang ramai.

“Kami sangat menggesa agar peguam Nagaentran diberi masa yang mencukupi dan munasabah untuk menyediakan kes mereka yang melibatkan isu rumit dan kehidupan manusia orang kurang upaya mental,” tambahnya.

Gambar fail, peguam N Surendran.

Petang tadi, Mahkamah Tinggi Singapura ketika mendengar peguam Nagaentran mencabar hukuman mati pada saat akhir dengan alasan bahawa adalah melanggar perlembagaan untuk menggantung seseorang yang kurang upaya intelek.

Peguam Nagaentran Singapura M Ravi kemudian menjelaskan bahawa Mahkamah Tinggi telah menolak cabaran perlembagaan tetapi membenarkan rayuan.

Keputusan ini dibuat di tengah-tengah bantahan awam terhadap kes Nagaenthran, dengan perhatian khusus kepada IQnya yang lebih rendah daripada purata iaitu 69 dan isu kesihatan mental yang lain.

Pada 2011, Nagaentran dijatuhi hukuman mati kerana mengedar 42.72g diamorfin ke Singapura dua tahun sebelumnya. Heroin diperbuat daripada diamorfin.

[Baca berita asal]