Skip to main
Logo Malaysiakini

58 kematian dilaporkan, jumlah korban 29,349 orang

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Repositori data Github Kementerian Kesihatan melaporkan sejumlah 58 kematian akibat Covid-19 semalam, menjadikan jumlah kumulatif kematian 29,349

Malaysia mempunyai jumlah kematian per kapita tertinggi di rantau Asean dan Asia Timur dengan 891 kematian bagi setiap 1 juta penduduk.

Daripada jumlah kematian yang baru dilaporkan semalam, lapan pesakit (13.8 peratus) meninggal dunia sebelum mendapat rawatan di hospital.

Selangor mencatatkan jumlah kematian baru tertinggi iaitu 13 orang (22.4 peratus).

Di Sarawak pula terdapat 12 kematian baru yang dilaporkan. Sejumlah 130 pesakit meninggal dunia di Sarawak sejak dua minggu lalu - angka tertinggi di Malaysia.

Kes kematian selebihnya dilaporkan di Perak (7), Johor (6), Kelantan (6), Kedah (4), Terengganu (4), Melaka (2), Kuala Lumpur (2), Pahang (1) dan Sabah (1).

Tiada kematian baru dilaporkan di Negeri Sembilan, Perlis, Pulau Pinang, Labuan dan Putrajaya.

Sebanyak 52 daripada 58 kematian yang dilaporkan berlaku dalam tujuh hari terakhir.

Baki kematian berlaku lebih seminggu lalu tetapi hanya direkodkan semalam kerana kelewatan dalam pelaporan data.

Purata 69 kematian Covid-19 dilaporkan setiap hari dalam tempoh 30 hari lalu berbanding purata tujuh hari sebanyak 53, menunjukkan trend yang menurun.

Setakat semalam, terdapat 61,760 kes aktif Covid-19. Ini adalah pengurangan sebanyak 8.1 peratus daripada 67,233 jangkitan aktif seminggu lalu.

Berbanding 30 hari lalu, jumlah kes aktif telah menurun sebanyak 48.6 peratus daripada 120,246 kes.

Jangkitan berkaitan kluster

Kemas kini selepas tengah malam Kementerian Kesihatan juga memberikan maklumat lanjut mengenai jangkitan baru Covid-19 semalam.

Daripada 4,543 kes baru semalam, sebanyak 80 daripadanya boleh dikesan kepada kluster Covid-19 sedia ada.

Daripada kes berkaitan kluster, 63 (78.8 peratus) adalah dari tempat kerja manakala 10 (12.5 peratus) adalah daripada institusi pendidikan.