Skip to main
Logo Malaysiakini

PKR nafi abaikan sumbangan Ginie Lim di Melaka

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PRN MELAKA | PKR mengakui ada anggota akar umbinya tidak berpuas hati dengan tindakan pemimpin pusat parti itu tidak mencalonkan semula Ginie Lim.

Namun kata Naib Presiden PKR Chang Lih Kang tindakan itu bukan bermakna parti terbabit melupakan jasa yang ditabur bekas Adun Machap Jaya tersebut.

"Kami menghargai Ginie sebagai ahli dan pada masa yang sama menghormati suara akar umbi.

"Kami sedang berjumpa dengan semua orang dan yakin walaupun ada suara yg tidak pasti, mereka tetap akan memberikan sokongan," katanya pada sidang media hari ini.

Tambah Chang, tindakan parti tidak mencalonkan semua seseorang bekas Adun bukan bermakna dia diketepikan.

Malah kata ahli parlimen Tanjung Malim itu lagi, Pengerusi PKR Melaka Halim Bachik juga tidak dipilih menjadi calon untuk Pakatan Harapan (PH).

"Adakah ini bermakna Halim dipinggirkan? Sudah tentu tidak. Pasti parti ada susunan atau aturan yang lain dan ia terpakai juga kepada Ginie," katanya.

Tinggalkan dewan sebelum undi

Pada 7 Nov lalu pemimpin PKR cabang Machap Jaya membuat rayuan saat-saat akhir meminta agar keputusan parti mengetepikan Lim daripada senarai calon dikaji semula.

Bagaimanapun usaha tersebut tidak berjaya. Sebaliknya PKR menamakan muka baru, Lau Beng Hau, sebagai calon bagi mempertahankan kerusi berkenaan.

Dalam PRU lalu Lim memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 1,336 undi. Dia mendapat 5,550 undi mengalahkan dua calon lain iaitu Koh Nai Kwong (BN) yang mendapat 4,214 dan Wan Zahidi Wan Ismail (PAS) yang hanya memperoleh 775 undi.

Ketika itu ada 12,719 orang pengundi berdaftar untuk kawasan Machap Jaya.

Menurut pemimpin PKR cabang Machap Jaya, Lau tidak memiliki sokongan daripada jentera parti di peringkat setempat dan bukanlah individu yang dilihat mampu memenangi kerusi tersebut.

Untuk rekod sejak setahun dua lalu Lim dilihat kurang disenangi sesetengah pemimpin peringkat pusat PKR.

Chang (kiri) bersama Bendahari Agung PKR Lee Chian Chung dan calon PH untuk Klebang, Gue Teck. 

Pada 2019 Lim bersama Adun Rembia Muhammad Jailani Khamis menyebabkan pencalonan Halim sebagai senator PH dari Melaka digagalkan semasa diundi di dalam DUN.

Sejurus sebelum pengundian dijalankan Lim serta Muhammad Jailani meninggalkan dewan sekali gus meletakkan usaha PH bagi menamakan Halim kekurangan sokongan.

Muhammad Jailani kemudian turut berperanan menjatuhkan kerajaan PH Melaka apabila dia berpaling tadah meninggalkan PKR dan menyokong pembentukan kerajaan baru pimpinan BN-PN.

Di sebalik kedudukan Lim sebagai Adun PH, dia lebih banyak dilihat sebagai sekutu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Azmin Ali yang suatu ketika dulu pernah menjadi timbalan presiden PKR.

Lim bertanding dalam pilihan raya kali pertama pada 2008 namun kalah dengan perbezaan 1,639 undi. Di sebalik keputusan itu dia terus melakukan kerja-kerja parti di Machap Jaya dan sekali lagi bertanding pada 2013.

Dalam PRU ke-13 itu Lim kalah dengan perbezaan 152 undi. Hanya pada cubaan kali ketiga (2018) dia berjaya merampas kerusi Machap Jaya.

Kata Chang memang menjadi sesuatu yang biasa untuk parti politik memilih muka baru sebagai calon.

"Ini bukan bermakna jasa seseorang itu tidak dihargai," katanya.