Skip to main
Logo Malaysiakini

Lim: K'jaan PH tak pernah luluskan tukar Perdana ke Vellfire

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng berkata kerajaan PH tidak pernah meluluskan pertukaran kereta Proton Perdana kepada Toyota Vellfire sebagai kereta rasmi menteri.

Selain atas dasar perbelanjaan berhemah, Lim berkata ia kerana para menteri pada masa itu telah menggunakan kenderaan Proton Perdana sebagai kenderaan rasmi.

"Kerajaan PH tidak meluluskan malah tidak pernah mengumumkan pertukaran Kenderaan Rasmi Jawatan (KRJ) bagi menteri-menteri persekutuan daripada Proton Perdana 2.4 Premium kepada Toyota Vellfire 2.5L.

"Ini berlawanan dengan kenyataan Kementerian Kewangan baru-baru ini bahawa cadangan penggantian kereta Proton Perdana kepada kenderaan lain seperti Vellfire sebenarnya telah dipertimbangkan semasa pentadbiran Kerajaan terdahulu tetapi ditangguhkan dan hanya dilaksanakan pada tahun ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dia berkata demikian susulan jawapan bertulis Tengku Zafrul di Dewan Rakyat bahawa cadangan penggantian kereta rasmi dipertimbangkan oleh Kerajaan PH, yang mentadbir negara pada 2018 hingga awal 2020.

Menurut Tengku Zafrul, pada Disember 2019, pentadbiran PH telah mempertimbangkan untuk menukar kenderaan rasmi menteri persekutuan daripada Proton Perdana kepada Toyota Vellfire.

Pada Januari 2020, Lim yang ketika itu menteri kewangan berkata kerajaan berhasrat untuk kekal menggunakan Proton Perdana tetapi syarikat yang membekal kereta kepada kerajaan tidak memiliki model itu kerana ia sudah tiada di pasaran.

Justeru, Toyota Vellfire ditawarkan sebagai alternatif. Bagaimanapun, Lim kemudiannya mengumumkan kerajaan akan kekal menggunakan Proton Perdana.

Lim berkata keputusan itu dibuat selepas sebuah syarikat yang dilantik untuk membekalkan kenderaan untuk kegunaan rasmi menteri dan pegawai kanan kerajaan mengesahkan bahawa terdapat bekalan kereta Perdana yang mencukupi.

Dalam jawapan parlimennya, Tengku Zafrul berkata kos sewa bulanan bagi Toyota Vellfire adalah lebih murah.

Mengikut harga yang disediakan oleh Kementerian Kewangan, kos bulanan Toyota Vellfire 2.5L ialah RM4,851.61 manakala Proton Perdana 2.4 Premium ialah RM4,854.41 sebulan.

Bagaimanapun ia tetap menerima kritikan antaranya oleh Persatuan Kereta Sewa Malaysia yang berkata kos pajakan Toyota Vellfire sebagai tidak munasabah.

Presidennya Farouk Fernandez berkata, kos bulanan yang dinyatakan oleh kerajaan tidak masuk akal dari segi kos pajakan bulanan kenderaan berdasarkan anggaran harga kenderaan itu.

Tambahnya, perlu diambil perhatian kenderaan dijual pada harga berbeza kepada kerajaan berbanding entiti swasta.