Skip to main
Logo Malaysiakini

Redzuan nafi nak tinggalkan Bersatu

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PRN MELAKA | Ahli Majlis Pimpitan Tertinggi Bersatu Mohd Redzuan Md Yusof hari ini menafikan khabar angin yang mengatakan dia bakal meninggalkan parti berkenaan.

Spekulasi itu hadir selepas terdapat pihak mendakwa ahli parlimen Alor Gajah itu tidak bersama dalam menggerakkan jentera pilihan raya Perikatan Nasional (PN) Melaka.

"Saya nak menindakkan apa yang orang katakan - saya tidak berada di dalam parti ataupun ada ura-ura nak keluar parti... itu semua tak benar. Ia cuma digembar-gemburkan oleh pihak-pihak tertentu.

"Hari ni saya nak jelaskan secara khusus, saya tetap dalam saf kepimpinan Bersatu," katanya.

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi portfolio tugas-tugas khas di bawah Muhyiddin Yassin itu berkata penegasan itu juga penting dibuat kerana ketika ini hanya ada satu saja kerusi parlimen Bersatu di Melaka.

Kerusi yang dimaksudkan Mohd Redzuan itu ialah kawasan parlimen Alor Gajah yang diwakilinya.

"Dan kita payungi DUN Melaka apabila dalam fasa PRN," katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Parlimen Alor Gajah hari ini.

Untuk rekod sebelum ini, Mohd Redzuan menyifatkan bahawa partinya "sudah berubah wajah" lantas mencetuskan khabar angin mengenai kemungkinan dia akan berpaling tadah.

Pada 31 Okt lalu bekas menteri itu mendedahkan bahawa dia akan membuat pengumuman penting selepas penamaan calon PRN Melaka. Tetapi menafikan bahawa dia akan keluar dari parti Bersatu.

"Fokus saya adalah untuk memastikan calon-calon di dun bawah parlimen Alor Gajah diberikan bantuan secukupnya untuk memastikan mereka boleh memberikan kemenangan kepada PN," katanya.

Dia yang gagal dalam usaha menjadi ketua Bersatu Alor Gajah selepas kalah kepada Mas Ermieyati Samsudin dalam pemilihan parti tahun lalu juga menegaskan tidak timbul isu dia mahu bergerak berasingan.