Skip to main
Logo Malaysiakini

Nana mahu jadi penggalak anak muda aktif politik

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PRN MELAKA | Percaya bahawa anak muda mampu berperanan penting, Farzana Hayani Mohd Nasir berpendapat penyertaannya dalam persaingan besar buat pertama kali ini adalah laksana pembuka jalan untuk melihat perubahan dalam landskap negara.

Bagi Farzana, negara memerlukan lebih ramai anak muda terlibat aktif dalam politik. Namun pada masa sama kebanyakan golongan terbabit kini semakin skeptikal dan menjauhi politik.

Calon Pakatan Harapan (PH) untuk DUN Sungai Rambai yang lebih mesra dikenali sebagai Nana itu berkata, sama halnya dengan pembabitan wanita dalam politik yang kini masih didominasi lelaki.

“Bagi Nana perlu ada calon muda untuk PRN Melaka atau PRU akan datang dan ia patut dibanyakkan oleh parti-parti politik, sebabnya sekarang ni - macam yang kita tahu - ramai anak muda yang tak berminat pada politik.

“Tapi apabila ada calon muda dan muka baru ditampilkan dalam parti politik, mesti anak muda akan tertanya-tanya: apa yang buatkan seseorang itu minat?

"Kemudian mereka akan mengkaji dan mula mengambil tahu lebih lanjut sehingga akhirnya menumbuhkan minat,” katanya ketika ditemubual oleh Malaysiakini hari ini.

Farzana, 21, kini mengikuti pengajian peringkat ijazah jurusan komunikasi dan media (penyiaran) di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Perlu lebih ramai wanita

Dia menjadi pertaruhan PH untuk merebut kerusi DUN Sungai Rambai. Selain Farzana, DUN itu turut ditandingi Muhammad Jefri Safry dari Bersatu yang mewakili PN, Nazatul Asyraf Md Dom (Putra) dan Siti Faizah Abdul Azis (Umno-BN).

Pada PRU ke-14, kerusi DUN Sungai Rambai dimenangi oleh Hasan Abd Rahman (BN) yang mendapat 5,088 undi mengalahkan Azalina Abd Rahman (PH) yang mendapat 3,419 undi. Seorang lagi calon ialah Zakariya Kasnin (PAS) yang hanya memperoleh 1,405 undi.

Sungai Rambai terletak di bawah kawasan parlimen Jasin dan berdekatan dengan Muar, Johor.

Mengulas mengenai penglibatan wanita dalam politik negara, Farzana berkata semua parti politik perlu banyak memberikan tumpuan kepada aspek tersebut terutamanya dalam sektor penggubalan dasar.

“Justeru kita perlukan lebih ramai wanita untuk dihantar menjadi wakil sama ada dalam dewan undangan negeri atau parlimen,” katanya.

Berkisah mengenai latar belakangnya terlibat dalam politik Farzana berkata ia bertunas sejak dia di bangku sekolah menengah lagi.

Ketika itu, katanya, dia selalu mengikut bapanya - Mohd Nasir Mamat, naib ketua PKR Tangga Batu - membantu penduduk setempat. Di situlah dia banyak melihat realiti kehidupan rakyat dan bagaimana seseorang wakil rakyat boleh membantu mereka.

Menyentuh mengenai politik negara yang berubah-ubah sejak berakhirnya PRU ke-14 lalu, anak bongsu daripada tiga orang adik-beradik itu berkata, dia sedar ada risiko yang menanti kesan pembabitannya dalam politik secara aktif.

Namun dia tetap yakin kerana keputusan menyertai PRN Melaka dibuat selepas berbincang dengan keluarga serta mengambil kira baik buruk langkah yang diambilnya.

“Alhamdulillah, sebelum bersetuju untuk bertanding, Nana memang dah fikir kesan jangka panjang, dan sebelum tu pun Nana dah dapatkan pendapat dari keluarga.

“Keluarga Nana memang sangat-sangat menyokong dan kami dah bersedia dari segi mental dan fizikal,” katanya.

Pilih kerana keikhlasan

Malah kata ketua Srikandi PKR Melaka itu, pensyarah dan rakan-rakannya yang mempunyai pandangan politik berbeza turut memberi sokongan dan kata-kata semangat.

Untuk rekod daripada 28 calon di PH untuk PRN kali ini, kira-kira 40 peratus daripadanya berusia 40 tahun atau ke bawah.

Farzana berkata dia mengambil maklum bahawa lawannya lebih berusia dan berpengalaman namun yakin pengundi di DUN Sungai Rambai mampu menilainya berdasarkan tekad dan kesungguhan membantu penduduk kawasan di situ.

“Meskipun Nana dilihat kecil, tapi Nana mempunyai hati yang besar dan jiwa yang besar untuk menampung hati pengundi di Sungai Rambai.

“Insya-Allah Nana percaya pengundi di Sungai Rambai akan menilai berdasarkan keikhlasan,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai PRN Melaka, Farzana berkata isu rangkaian internet di kawasan ditandinginya akan menjadi agenda utama untuk diperjuangkan kerana ada banyak keluarga yang mempunyai anak-anak yang masih belajar.

“Kalau internet baik di Sungai Rambai, mesti lebih ramai orang boleh yang terlibat dalam bidang keusahawanan.

“Secara tidak langsung Nana boleh menggalakkan wanita pelbagai peringkat serta anak muda terlibat secara tidak langsung sebagai usahawan ekonomi digital,” katanya.

Ditanya mengenai ahli-ahli politik yang melompat parti dan pendirian PH menerima dua bekas Adun Umno (Idris Haron dan Nor Azman Hassan) sebagai calon, Farzana mengakui ia mengundang rasa tidak puas hati sesetengah pihak.

“Tapi Nana percaya pimpinan PH membuat keputusan ini secara kolektif dan menyeluruh.

“Nana juga percaya keputusan itu dibuat setelah segala aspek telah diambil kira untuk jangka masa panjang,” katanya.