ULASAN | Sebuah pekan dan jalan bernama Jelai
ULASAN | Warisan budaya itu maksudnya ialah suatu peninggalan fizikal (ketara) atau tidak ketara sebuah kelompok atau masyarakat yang diwarisi daripada generasi terdahulu serta dikekalkan dan dipelihara untuk generasi mendatang.
Contoh warisan yang ketara ialah bangunan, monumen, buku, hasil seni dan artifak. Warisan budaya tidak ketara termasuklah cerita rakyat tradisi, bahasa dan pengetahuan, manakala contoh warisan semula jadi ialah ciri-ciri muka bumi dan biodiversiti yang penting.
Ia bukanlah penjelasan yang dihasilkan dari makmal atau bersifat saintifik sebaliknya penjelasan secara umum. Keterangan berkenaan menjadi pembuka tulisan ini dengan sifatnya seperti peringatan imam kepada jemaah mengenai tertib dan niat solat sunat hari raya.
Selain mengingatkan orang lain, ia juga bertujuan 'mengikat' seorang imam agar tidak tersasul daripada apa yang sepatutnya. Tulisan ini juga boleh dianggap sebagai sambungan kepada artikel saya mengenai Kolepih sebelum ini.
Jika terlepas pandang, maka eloklah kita kembali kepada asas dan kita sama-sama ingat-mengingati serta mendapat manfaat.
"Apa signifikannya bunga Rafflesia (bunga pakma) pada mural di Jalan Stesen KTM itu dengan Lepih?" tanya seorang hamba Allah yang cakna pada satu hari. Dia menghantar soalan itu melalui aplikasi Facebook.
Dia bertanya mengenai projek mengindahkan bandar Kuala Lipis - yang kami biasa sebut sebagai Lepih saja - sedang disiapkan sekarang.
Tak sesuai berbisik-bisik
Kepada dia, saya katakan, sejujurnya tidak ada jawapan yang dapat difikirkan, malah saya juga tidak berani membuat ulasan. Dari sisi lain ia juga dirasakan tidak manis kerana setiap orang memiliki penilaian serta cita rasa sendiri.
Cuma bagi sebuah persembahan lukisan mural untuk bagi menghias Lepih ini, seharusnya ada penceritaan yang mendasari bandar kami. Mural itu bukan dinilai kepada cantik dan adanya saja.
Kerja visual harus bertitik tolak dari definisi yang saya nyatakan di tadi.
Pun begitu pun tetap menghargai hasil kerja yang sudah dilaksanakan di Lepih. Ia memang cantik dan menarik. Syabas diucapkan kepada artis-artis yang menyiapkan karya berkenaan.
Perlu dijelaskan di sini bahawa saya berbunyi ini bukanlah kerana mahu menyanggah, sebaliknya sedar bersuara menyatakan pandangan. Hentikan bersikap mudah melabel. Menganggap sesiapa saja yang tidak sependapat dengan kita sebagai pembangkang, misalnya.
Sebagai anak kelahiran Lepih dan melihat bandar ini berkembang menjadi seperti apa yang ada sekarang, sudah tentu berdiam atau bersuara berbisik-bisik saja tidak sesuai untuk semua tempat dan semua masa.
Kerana akhirnya nanti yang kalah dan rugi Lepih kami ini juga.
Mari saya kongsikan pandangan mengenai lukisan yang lebih kena untuk Lepih ini.
Gambar kereta api sudah itu betul dan cuma cantik, cuma ia tidak bercerita dengan jujur mengenai suasana Lepih suatu ketika dulu. Lepih ini pernah merasai zaman gemilang ketika adanya perkhidmatan Jungle Train.
Alangkah manisnya jika kereta api di Lepih ini digambarkan dengan suasana kegemilang zaman Jungle Train. Ada figura orang duduk di bangku kayu menanti kereta api tiba, contohnya.
Bukan jalan biasa
Boleh juga dipaparkan figura tok peraih sibuk menurunkan barang dagangan dengan bantuan porter kereta api yang menolak barang.
Lukiskan satu gerabak kereta api era itu yang khusus diletakkan di sudut sesuai agar sesiapa saja yang tertarik - terutamanya pelancong - agar mereka boleh berswafoto di situ. Ia suatu kaedah promosi yang berkesan juga, malah tidak memerlukan sebarang perbelanjaan seperti membeli iklan di media massa atau papan tanda.
Andainya Lepih kami ini perlu dicantikkan dengan bunya, bolehlah dipilih semarak api berbanding Rafflesia kerana ia lebih mendatangkan kesan jiwa yang mendalam.
Ia sudah tentu menggamit kenangan khususnya dalam kalangan anak-anak Lepih yang merantau atau berhijrah ke luar.
Pun begitu bagi kerja yang sudah siap itu kita bolehlah berlapang dada dan menerima seadanya.
Harapan saya mural di Jalan Jelai itu nanti biarlah dirancang dan disiapkan mengikut definisi melestarikan warisan budaya Lepih. Jika pihak yang berkenaan berpendapat saya perlu merayu, maka relalah saya merayunya.
Jalan Jelai di Lepih ini bukanlah jalan biasa. Izinkan saya turunkan sedikit ceritanya semoga ia dapat membantu meraih ilham sesiapa yang berkenaan.
Besar dan rencam sejarah yang terakam di Jalan Jelai itu. Di situ dahulunya ada panggung wayang pertama di Lepih. Ia wujud sejak zaman British. Selain tayangan wayang gambar panggung itu juga menjadi tempat persembahan bangsawan.
Suara Frank Sinatra berkumandang
Antara tokoh yang pernah membuat persembahan di situ ialah dua seniman besar negara, iaitu Allahyarham P Ramlee dan Allahyarham SM Salim.
Pada barisan panggung wayang itu pula ada satu bar yang suasananya seperti dalam filem koboi. Ia diberi nama Kedai 55. Selain itu ada sebuah restoran yang menyediakan jukebox di hadapan premis mereka.
Dengan masukan syiling berlambang Queen of England ke perut alat itu, muda-mudi pada zaman berkenaan dapatlah menikmati halwa telinga sementara menunggu untuk pintu panggung wayang dibuka.
Selain lagu Melayu dan Hindi jukebox tersebut juga menawarkan pelbagai lagu Inggeris dengan dendangan Frank Sinatra dan Elvis Presley antara yang paling menjadi kegemaran ramai.
Suasana di Jalan Jelai semakin berwarna-warni apabila senja tiba di ambang hari.
Ramai yang berpeleseran atau bersidai pada binaan pagar pembagi jalan. Binaan pagar itu diperbuat daripada kayu keras. Ada dibuat puting pada hujungnya dengan di bahagian bawah dipasak ke dalam binaan konkrit.
Kesan tinggalan binaan itu masih ada sehingga kini. Ia boleh dijadikan salah satu bahan warisan untuk tatapan generasi sekarang.
Sama seperti kebanyakan bandar, Lepih juga ada sisi gelapnya. Ia pernah tersohor dengan kegiatan pelacuran. Beberapa rumah rakit di dada Sungai Jelai dijadikan sarang wanita memperdagangkan tubuh.
Ia juga dikatakan menjadi antara sebab mengapa Lepih digelar Paris Of The East.
Lepih juga memahat sejarah tersendiri dalam bidang politik. Pada tapak Wisma River View sekarang ini, pernah berdiri premis tempat bermulanya kegiatan parti Umno.
Tingkat atas bangunan kedai minum Wah Hee merupakan berpusatnya pejabat Umno Lepih.
Saya ulangkan kisah ini atas semangat Keluarga Malaysia agar pihak berwajib mengambil perhatian. Sekurang-kurangnya bagilah sedikit muka pada kami warga asal Lepih ini.
Kami ingin melihat Lepih dengan wajah Lepih. Lepih tak perlu diserabutkan dengan banyak hiasan yang gagal menjalin hubungan dengan realiti setempat.
Mungkin dua atau tiga mural yang berkaitan sudah memadai. Namun yang lebih penting biarlah hiasan yang dirancang dan dilaksanakan itu kena dan ada penceritaan warisan Lepih padanya.
Sebuah gambar perahu jalur dan bot berkajang pun boleh memberi impak visual yang mengesankan.
Pahang bertuah kerana memiliki Taman Negara,Taman Negeri serta Taman Laut tersohor seantero dunia. Apa kata kita sama-sama cuba usahakan pula sebuah Lepih agar menjadi Taman Warisan Sejarah Pahang yang makmur ini.
Lepih cukup berpotensi dipersiapkan ke arah itu.
UBI MARCHINO ialah jurupandu alam semula jadi yang membesar di Kuala Lipis sambil melukis, memerhati dan menulis.
Rencana ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai