Skip to main
Logo Malaysiakini

30 tahun rakyat tak dapat tanah, PH lakukan dalam 22 bulan - Adly

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PRN MELAKA | Kempen Pakatan Harapan pada pilihan raya negeri Melaka bermula sukar ekoran kerjasamanya dengan dua bekas pemimpin Umno, Idris Haron dan Nor Azman Hassan.

Bagaimanapun, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka Adly Zahari, yang juga bekas ketua menteri Melaka ketika gabungan itu menerajui kerajaan negeri pada 2018 hingga 2020, percaya mereka mempunyai sesuatu untuk ditunjukkan walaupun tempoh perkhidmatannya hanya 22 bulan.

Di bawah pentadbirannya, Adly berkata kerajaan negeri telah memperkenalkan dasar yang mesra penduduk luar bandar walaupun sokongannya banyak bergantung kepada pengundi bandar dan separa bandar.

"Saya ambil satu contoh, dasar tanah kita di mana kerajaan PH telah mengusahakan pemberian tanah kepada rakyat di negeri ini.

"Saya percaya ini akan menjadi satu cabaran kepada BN. Sebahagian daripada penerima adalah rakyat Melaka di kawasan Tanjung Bidara, yang telah menunggu hampir 30 tahun untuk mendapatkan tanah mereka.

"Namun, kita berjaya melakukannya dalam masa 22 bulan sahaja," kata Adly kepada Malaysiakini pada satu temu bual.

Tanjung Bidara merupakan kubu kuat BN yang dimenangi gabungan itu dengan margin terbesar.

Calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu Zainal Hassan daripada PKR, agak kurang dikenali di kalangan rakyat, berbanding pesaingnya calon BN Ab Rauf Yusoh, yang merupakan Pengerusi Umno Melaka dan calon Perikatan Nasional (PN) Mas Ermieyati Samsudin, yang merupakan timbalan menteri.

Di tengah kekecohan tempoh berkempen, Adly melahirkan keyakinan bahawa gabungan itu boleh memanfaatkan rekod prestasi PH sebagai kerajaan Melaka untuk meyakinkan pengundi.

“Jika kita mahu mendapatkan sokongan daripada rakyat, dia sebenarnya banyak bergantung kepada apa yang telah kita lakukan untuk rakyat.

"Jadi, walaupun kita tahu bahawa kita menang di kebanyakan kawasan bandar dan pinggir bandar tetapi dasar dasar yang kita buat itu menyeluruh.

"Semua dasar kita dan insentif yang telah diberikan oleh PH semasa kita berkuasa... saya percaya ia akan menjadi asas kukuh untuk rakyat membuat pilihan mereka," kata Adly.

'Dasar perumahan PH beri manfaat kepada pelbagai'

Tambah Adly, dasar perumahan PH juga telah memberi manfaat kepada pelbagai golongan termasuk golongan miskin, berpendapatan sederhana dan belia.

Ia termasuk program Rumah Berkat, di mana belia boleh menyewa rumah serendah RM150 sebulan, dan Rumah Harapan, yang mampu dimiliki oleh golongan M40, katanya.

Secara tradisinya, parti-parti komponen PH hanya mampu menang di pusat bandar Melaka tetapi gabungan itu meraih kemenangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini pada PRU14, dengan menakluki beberapa kerusi di kawasan separa bandar, dengan kebanyakan kerusi luar bandar dikuasai BN.

Ini membolehkan PH memperoleh 15 daripada 28 kerusi di DUN Melaka.

Bagaimanapun, kerajaan PH Melaka tumbang akibat rampasan kuasa pada 2020.

Berdepan dengan pelbagai halangan baru-baru ini, termasuk tindakan Bersatu yang memutuskan untuk tidak lagi bekerjasama dengan PH, kekecewaan pengundi dan kemungkinan peratusan keluar mengundi yang rendah akibat pandemik Covid-19, PH berkemungkinan bergelut untuk mengekalkan kemenangan yang diperoleh pada 2018.

Bagaimanapun, dengan penyokong kerajaan yang kini berpecah antara BN dan PN, yang merupakan sebahagian daripada kerajaan campuran di peringkat persekutuan tetapi berlawan sesama sendiri pada pilihan raya Melaka, keputusannya masih tidak jelas.

Adly berkata PH sebelum ini sukar untuk menarik pengundi kerana Melaka tidak pernah ditadbir oleh kerajaan lain selain BN dan oleh itu mereka tidak boleh membuat perbandingan dari segi kemampuan.

Tetapi dengan perubahan yang dibawa menjelang PRU14, jelasnya, rakyat Melaka kini boleh membuat perbandingan dari segi perkhidmatan yang ditawarkan oleh kerajaan yang berbeza dari pelbagai aspek, termasuk kebajikan, pendidikan dan ekonomi.

Kata Adly, PH juga telah menghapuskan banyak birokrasi dalam prosedur untuk rakyat mendapatkan bantuan kebajikan, termasuk menghentikan amalan pemohon perlu mendapatkan surat sokongan sebelum mereka boleh dipertimbangkan untuk mendapatkan bantuan.

“Sekarang, rakyat telah melihat bagaimana kita mentadbir negeri, dan membandingkannya dengan parti lain," katanya.

Pun begitu, Adly mengakui kehilangan Bersatu sebagai rakan gabungan politik itu, yang telah membantu PH memperoleh beberapa undi Melayu luar bandar, telah memberi kesan kepada PH.

Bagaimanapun, Adly menegaskan bahawa rekod prestasi yang dimiliki PH dalam mentadbir Melaka akan dapat membantu mereka memenangi pilihan raya negeri kali ini.

“Sudah tentu, jika kita lihat (perpecahan), setiap pihak telah kehilangan sedikit sokongan dan memperoleh sebahagian.

"Saya tidak nafikan kita kini tidak lagi mendapat sokongan Bersatu kerana Bersatu tidak lagi bersama PH.

“Tetapi, seperti yang saya katakan sebelum ini, PH mempunyai kelebihan memimpin negeri ini selama 22 bulan, yang pastinya akan membawa lebih banyak sokongan.

"Keseimbangan ini penting. Dan yang akan menentukan parti mana yang akan menang ialah rakyat," tambah Adly.

SPR menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 Nov dan undi awal pada 16 Nov susulan pembubaran DUN pada 4 Okt lepas selepas empat ADUN menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.