Skip to main
Logo Malaysiakini

Wanita warga emas maut dikelar anak lelaki

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Seorang wanita warga emas maut dipercayai dikelar anak lelakinya dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Batu 5, Jalan Jeniang dekat Gurun hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Adzli Abu Shah berkata pihaknya menerima laporan kejadian pada 7.30 pagi tadi dan pemeriksaan di rumah itu menemukan mayat Sarah Jon, 70, dalam keadaan terlentang di ruang tamu dengan kesan kelar sedalam kira-kira 12.7 sentimeter pada bahagian leher.

"Terdapat sedikit kecederaan di tangan kanan dan telinga kiri mangsa (Sarah) yang dipercayai akibat dipukul dengan senjata tumpul. Kita turut menjumpai beberapa peralatan menghisap dadah dan sejumlah baki dadah di tepi pintu masuk (rumah)," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Adzli berkata wanita berkenaan tinggal di rumah itu bersama anak lelakinya yang berusia 31 tahun dan mempunyai rekod masalah mental sejak kira-kira 10 tahun lepas.

Beliau berkata pihaknya percaya kejadian itu berlaku antara 6.30 dan 7 pagi tadi dan anak lelaki mangsa kemudian bertindak menerpa ke Jalan Gurun-Jeniang, kira-kira satu kilometer dari rumah tersebut sebelum maut dilanggar lori yang melalui jalan berkenaan.

Menurut Adzli pihaknya belum menemukan senjata yang disyaki digunakan dalam kejadian itu namun percaya perbuatan itu menggunakan pisau tumpul dan akan menggerakkan Unit Anjing Pengesan untuk mencari senjata itu di sekitar kawasan rumah mangsa dan lokasi anaknya dilanggar lori.

Beliau berkata berdasarkan maklumat awal, berlaku pertengkaran antara wanita dan anak lelakinya itu malam tadi yang dipercayai berpunca daripada desakan anaknya untuk membeli dadah.

"Hasil maklumat yang kita dapat, pertengkaran berlaku hampir setiap hari. Adik mangsa yang tinggal berdekatan rumah mangsa memaklumkan dia terdengar pertengkaran selepas Isyak malam tadi, yang dipercayai desakan anak lelakinya meminta duit bagi membeli bekalan dadah,” katanya.

Katanya kes yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh itu dianggap selesai memandangkan anak lelaki mangsa sudah meninggal dunia dalam kemalangan itu namun polis akan meneruskan siasatan sekiranya terdapat maklumat baru berkaitan kejadian itu.

"Macam saya katakan, pihak polis mendapati tiada kesan geledah, tiada unsur samun dan tiada kecurian tetapi jika orang ramai ada maklumat lain, boleh salurkan kepada kita dan kita akan siasat," katanya.

Beliau berkata mayat wanita dan anak lelakinya itu dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk bedah siasat.

- Bernama