Skip to main
Logo Malaysiakini

Debat di Kelebang, Ayer Keroh dijangka hangatkan kempen

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PRN MELAKA | Semakin hampir ke tarikh pengundian, kempen parti yang bertanding dalam PRN kali ini dijangka akan lebih dihangatkan lagi dengan adanya beberapa program debat yang mempertemukan calon terlibat sedang dirancang.

Misalnya calon Pakatan Harapan (PH) untuk kerusi Kelebang, Gue Teck, hari ini membuat tawaran terbuka kepada pesaingnya, Lim Ban Hong, untuk berdebat pada hujung minggu ini.

Gue merupakan wakil PKR manakala Lim dari MCA.

Dalam surat yang dihantar kepada Lim hari ini Gue berkata debat berkenaan dicadang untuk diadakan pada jam 9 malam Ahad ini dan boleh diadakan secara dalam talian atau pun hadir secara fizikal.

"Program ini bertujuan untuk menyediakan satu platform yang sihat bagi setiap calon membentangkan pemikiran politik, pelan pembangunan komuniti atau kawasan DUN serta dasar berkenaan masyarakat serta ekonomi," katanya dalam surat tersebut.

Surat berkenaan diserahkan penasihat kempen Gue, Lee Chean Chung, kepada kakitangan pejabat Lim tengah hari tadi.

Lee memaklumkan kepada pegawai terbabit, pihaknya juga memanjangkan jemputan berkenaan kepada seorang lagi calon Kelebang, iaitu Bakri Jamaluddin dari PAS yang mewakili Perikatan Nasional.

Ada kekangan masa

Sementara itu perkembangan lebih menarik berlaku di kawasan DUN Ayer Keroh apabila calon PH, Kerk Chee Yee - yang cuba mempertahankan kerusi berkenaan - mempelawa dua pencabarnya untuk debat tiga penjuru.

Dalam PRN ini Kerk ditentang Yong Fun Juan (MCA-BN) dan Micheal Gan Peng Lam (Gerakan-PN).

Kata Kerk, jemputan itu dibuat dengan ikhlas bagi membahaskan isu-isu melibatkan kawasan Ayer Keroh dan Melaka selaras dengan pelaksanaan SOP ketat oleh pihak berkuasa yang melarang diadakan perhimpunan pilihan raya.

Kerk Chee Yee

"Semua parti tidak mampu menjelaskan idea politik dan membincangkan isu semasa dengan pengundi, manakala ramai pengundi tidak berpeluang memahami maklumat yang tepat dan menemui calon.

"Oleh itu, saya berharap perbahasan ini akan memberi peluang kepada rakyat meneliti kepimpinan dan perbezaan ideologi politik secara mendalam bagi memilih calon yang terbaik untuk menjadi Adun dan kerajaan negeri," katanya.

Jemputan terbuka itu dimuat naik di media sosial Kerk.

Anak bekas setiausaha agung DAP itu bagaimanapun tidak mencadangkan sebarang masa, tarikh atau platform bagi melaksanakan perdebatan berkenaan namun berharap media kerajaan boleh mengedalikannya.

Kata Kerk ia boleh memberikan persaingan politik yang sihat serta menggalakkan parti politik dan rakyat mengutamakan diskusi mengenai sesuatu polisi.

Setakat ini Yong menunjukkan reaksi positif dan berkata dia bersedia menyertai debat berkenaan. Pada masa sama Gan memberitahu Malaysiakini, isu yang dihadapinya sekarang adalah "masa".

"Saya berminat tapi masa suntuk," katanya melalui mesej teks selepas ditanya sama ada dia menerima jemputan berkenaan atau tidak.

[Baca berita asal]