Skip to main
Logo Malaysiakini

18 individu berkumpul main puteri dikompaun RM60,000

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Polis menahan dan mengenakan kompaun ke atas 18 individu termasuk empat wanita kerana berkumpul dalam acara main puteri di Kampung Sungai, Bachok, tengah malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun berkata kesemua mereka yang berusia antara 23 hingga 63 tahun itu dikompaun dengan nilai keseluruhan RM60,000 selepas arahan bersurai oleh polis tidak diendahkan.

Katanya anggota polis dihantar ke kampung terbabit pada pukul 12.30 tengah malam selepas menerima maklumat mengenai aktiviti main puteri (acara perubatan secara tradisional) dan menasihatkan mereka - dianggarkan kira-kira 100 orang - bersurai.

“Bagaimanapun, penduduk yang hadir tetap meneruskan aktiviti itu menyebabkan polis terpaksa ke lokasi kejadian sekali lagi pada pukul 2 pagi dan menahan 18 individu termasuk empat wanita, manakala selebihnya melarikan diri," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) di Kota Darul Naim, Kota Bharu hari ini.

Menurut Muhamad Zaki semua yang ditahan - termasuk penganjur - dikompaun antara RM2,000 hingga RM10,000 mengikut Peraturan 8 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) Pelan Pemulihan Negara (PPN) 2021 kerana melakukan aktiviti terlarang.

"Aktiviti seperti berkumpul beramai-ramai adalah tidak dibenarkan kerana bimbang penularan Covid-19 dan tindakan ini satu pengajaran kepada masyarakat memandangkan kes baru wabak itu di Kelantan masih tidak konsisten," katanya.

- Bernama