Manifesto PH fokus isu kestabilan politik, pemulihan kesan Covid-19
PRN MELAKA | Giliran Pakatan Harapan (PH) pula membentangkan manifestonya hari ini, hanya beberapa jam selepas BN bertindak sedemikian awal petang tadi.
Kedua-dua gabungan nampaknya menawarkan janji mengenai kestabilan politik selepas Melaka diheret ke dalam PRN mengejut di tengah ancaman pandemik Covid-19 kesan daripada perbalahan politik dalaman Umno.
PH dan BN juga menjanjikan peruntukan sama rata untuk semua wakil rakyat sama ada dari kerajaan atau pembangkang.
Jika BN secara mencadangkan sesuatu yang drastik iaitu meminda perlembagaan negeri dengan melantik lima Adun tambahan bagi mengukuhkan majoriti jika memenangi PRN ini, PH pula mengambil jalan yang lebih konservatif iaitu mencadangkan enakmen antilompat parti.
Dalam manifesto yang dibentangkan Pengerusi PH Melaka yang juga calon ketua menteri gabungan berkenaan, Adly Zahari, mereka turut berjanji untuk mengiktiraf pembangkang dan memberikannya status yang sama sebagai exco.
Majlis pengumuman Pelan Tindakan Maju Bersama Harapan itu turut dihadiri Pengerusi PH Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
Berdasarkan pengumuman dibuat hari ini, PH juga akan akan meminta semua Adun Melaka mengisytiharkan harta masin-masing sebagai kaedah memastikan ketelusan, selain mengamalkan sistem tender terbuka sebagai teras untuk proses perolehan negeri.
Asas manifesto PH dan BN juga agak serupa, dengan tumpuan diberikan kepada membantu orang ramai mengatasi kesan pandemik Covid-19 serta memulihkan sektor pelancongan negeri yang telah terjejas teruk akibat wabak itu.
Ia termasuk menyediakan dana khas untuk ujian Covid-19 dan bantuan kepada keluarga yang kehilangan anggota akibat virus itu.
PH juga berjanji untuk memperkenalkan kad subsidi Melaka Sihat bernilai RM300 kepada kumpulan B50 (golongan berpendapatan rendah), sama seperti dasar yang dilaksanakan di Selangor.
PH juga menjanjikan skim khusus untuk membantu pelbagai kumpulan sasar, termasuk kanak-kanak, pelajar, warga emas dan ibu bapa tunggal. Ia termasuk wang tunai, makanan dan bantuan perumahan.
Gabungan itu juga menyatakan komitmennya untuk memacu sektor pendigitalan Melaka, memotong cukai untuk petani, menyediakan peluang pekerjaan dan menambah baik Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka.
Hari ini adalah hari ketiga kempen untuk PRN Melaka. Pengundi akan mengundi pada 20 Nov.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai