Skip to main
Logo Malaysiakini

Jaringan 5G: PH gesa k'jaan batalkan monopoli DNB

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kerajaan pusat digesa membatalkan monopoli Digital Nasional Berhad (DNB) merupakan sebuah Syarikat Tujuan Khas (SPV) yang ditubuhkan Kementerian Kewangan untuk menjalankan projek jaringan 5G.

Ini selepas media antarabangsa Reuters melaporkan bahawa masih belum ada syarikat telekomunikasi utama malaysia yang bersetuju untuk menggunakan jaringan 5G ini yang disediakan oleh kerajaan pusat melalui DNB.

"Saya harap Menteri Komunikasi dan Multimedia (Annuar Musa) akan berbincang dengan Menteri Kewangan (Tengku Zafrul Abdul Aziz). Batalkan monopoli 5G oleh DNB ini. Kita buat sama seperti yang kita lakukan sebelum ini.

"Saya mohon menteri komunikasi berhati-hati dengan mereka yang menasihati anda. Lebih baik mempunyai hubungan yang lebih mendalam dengan (pemain) industri ini," kata Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil dalam sidang media di lobi parlimen hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Noh yang turut hadir sidang media tersebut berkata bahawa kerajaan tidak boleh membiarkan projek jaringan 5G dikuasai oleh pihak tertentu sahaja.

"Dalam industri ada kebimbangan bahawa mungkin ada pilih kasih terhadap beberapa syarikat telekomunikasi atau satu syarikat telekomunikasi sahaja. Kerana ada sebab-sebab tertentu di situ.

"Jadi, jangan biarkan perkara ini merebak dan menjadi parah. Buat sesuatu sekarang dan ini adalah di tangan kerajaan sekarang," katanya.

DNB, ditubuhkan dengan tujuan khas milik kerajaan untuk membangun, memiliki dan mengoperasikan infrastruktur 5G Malaysia berkata bahawa pelaksanaan tender yang ketat telah dimulakan pada bulan Mac 2021.

DNB akan diberi peruntukan RM15 bilion untuk dibelanjakan bagi pelancaran 5G dalam tempoh 10 tahun.

Pada Julai, DNB mengumumkan bahawa ia telah melantik Ericsson untuk mereka bentuk dan membina Rangkaian 5G Nasional dengan kos keseluruhan RM11 bilion.

Namun, semalam Reuters melaporkan bahawa tiada syarikat telekomunikasi tempatan membuat tawaran untuk menggunakan perkhidmatan jariangan 5G yang disediakan oleh DNB.

Dilaporkan bahawa syarikat telekomunikasi masih membuat tawaran kerana isu ketelusan dan juga kadar harga borong.

Perkara ini disahkan DNB. Malah DNB mengakui bahawa jangka waktu perundingan itu terlalu optimistik.