Skip to main
Logo Malaysiakini

MPN: Sempadan dibuka kepada pelancong asing selewatnya 1 Jan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Majlis Pemulihan Negara (MPN) berkata sempadan akan dibuka kepada pelancong antarabangsa selewat-lewatnya 1 Jan dalam usaha menangani industri pelancongan yang perlahan.

Perkara itu diumumkan oleh Muhyiddin Yassin, yang mempengerusikan MPN hari ini.

Muhyiddin berkata proses pemulihan industri pelancongan agak perlahan berikutan ketiadaan pengunjung asing.

"Mengambil kira tahap pencapaian program vaksinasi negara yang amat baik, mesyuarat hari ini memutuskan supaya sempadan negara dibuka kepada pelawat antarabangsa selewat-lewatnya pada 1 Januari 2022 bagi mempercepatkan pemulihan bagi sektor pelancongan,” katanya.

Muhyiddin berkata MPN juga diberi taklimat mengenai ekonomi oleh ketua perangkaan Mohd Uzir Mahidin, yang berkata prestasi ekonomi negara bagi Suku ke-2 2021 masih di bawah paras prapandemik kecuali sektor pembuatan.

"Mesyuarat juga dimaklumkan bahawa prospek ekonomi negara bagi Suku Tahun Ketiga dan Keempat, 2021 menunjukkan bahawa keadaan ekonomi masih mencabar," katanya.

Muhyiddin berkata kerajaan akan melakukan lebih banyak usaha untuk memastikan negara mencapai matlamat ekonominya.

Pada Ogos, Bank Negara telah meramalkan KDNK berkembang tiga hingga empat peratus tahun ini selepas ekonomi negara menguncup 5.6 peratus tahun lepas.

Sementara itu, Muhyiddin berkata majlis itu turut membincangkan keperluan buruh dan pelaksanaan Program Penentukuran Semula Sumber Manusia oleh ketua pengarah Jabatan Imigresen Khairul Dzaimee.

“Majlis mengambil maklum langkah-langkah penambahbaikan program rekalibrasi yang akan dilaksanakan Jabatan Imigresen yang boleh membantu mengurangkan isu kekurangan tenaga kerja yang dihadapi pelbagai sektor ekonomi,” katanya.

Muhyiddin tidak menjelaskan secara terperinci langkah-langkah yang diambil. Antara lain, program itu akan membolehkan warga asing tanpa izin diambil bekerja.

MPN berkata ia berpuas hati dengan taklimat daripada Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengenai aliran menurun dalam kes harian Covid-19, kematian, kemasukan ke hospital dan kadar vaksinasi yang tinggi.