Skip to main
Logo Malaysiakini

49 lagi kematian, jumlah korban 29,535

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kementerian Kesihatan melalui laman web Github melaporkan sejumlah 49 kematian akibat Covid-19 semalam (11 Nov), menjadikan jumlah kumulatif kematian kini adalah sebanyak 29,535.

Malaysia mencatatkan jumlah kematian per kapita tertinggi di rantau Asean dengan 891 kematian bagi setiap satu juta penduduk.

Daripada jumlah kematian yang baru dilaporkan semalam, 14 orang meninggal dunia sebelum mendapat rawatan di hospital.

Sabah mencatatkan jumlah kematian baru tertinggi iaitu sebanyak 12 orang atau bersamaan 24.5 peratus daripada kematian baru yang dilaporkan.

Selebihnya di Perak yang mencatatkan sembilan kematian, Sarawak (7), Selangor (7), Terengganu (6), Kelantan (3), Johor (2), Kedah (1), Pahang (1) dan Kuala Lumpur (1) .

Tiada kematian baru dilaporkan di Melaka, Negeri Sembilan, Perlis, Pulau Pinang, Labuan dan Putrajaya.

Purata 67 kematian Covid-19 dilaporkan setiap hari dalam 30 hari lalu berbanding purata 54 kematian dalam tujuh hari yang menunjukkan trend penurunan.

Sehingga kini, sebanyak 720 kematian akibat Covid-19 dilaporkan pada bulan ini.

Setakat semalam, terdapat 63,827 kes aktif Covid-19. Ini adalah pengurangan sebanyak 4.7 peratus daripada 66,944 kes aktif seminggu yang lalu.

Berbanding 30 hari lalu, jumlah kes aktif telah menurun sebanyak 41.4 peratus daripada 108,997.

 Jangkitan berkaitan kluster

Kementerian Kesihatan tengah malam tadi juga memberikan butiran lebih terpeinci mengenai jangkitan baru Covid-19 semalam.

Daripada 6,323 kes baru, 135 daripadanya dikesan kepada kluster Covid-19 sedia ada.

Daripada kes berkaitan kluster, 81 (60 peratus) adalah kluster tempat kerja manakala 24 (17.8 peratus) adalah daripada kumpulan berisiko tinggi seperti rumah orang tua.

Sebanyak 24 lagi kluster (17.8 peratus) adalah daripada kluster berkaitan institusi pendidikan.

Baki kes dikesan kepada kluster yang berkaitan komuniti (6 - 4.4 peratus).