Skip to main
Logo Malaysiakini

Guan Eng, Teng sedia selesaikan saman fitnah berhubung isu Pulau Jerejak

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Bekas menteri kewangan, Lim Guan Eng dan bekas pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Teng Chang Yeow bersedia menyelesaikan saman fitnah berhubung isu Pulau Jerejak.

Berikutan itu, Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan rayuan bekas ketua menteri Pulau Pinang itu untuk mengetepikan keputusan mahkamah tinggi yang membatalkan saman terhadap Teng.

Pada 29 Jun 2018, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membenarkan permohonan Teng untuk membatalkan saman Lim berhubung artikel “Pulau Jerejak land sale questioned” bertarikh 16 Nov 2016. Plaintif kemudiannya merayu kepada Mahkamah Rayuan.

Semasa prosiding dalam talian hari ini di hadapan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan hakim Kamaludin Md Said, peguam Lim, N Mureli memaklumkan bahawa pihak-pihak berkenaan bersedia untuk menyelesaikan saman dan bersetuju perkara itu dikembalikan kepada Mahkamah Tinggi.

“Kami telah mencapai penyelesaian. Kami telah memfailkan draf perjanjian untuk kedua-dua pihak.

“Kami bersetuju supaya perkara itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi dan supaya perintah Mahkamah Tinggi (29 Jun 2018) diketepikan,” kata Mureli.

Peguam Teng Harpal Singh Grewal mengesahkan persetujuan anak guamnya berhubung perkara itu.

Panel itu, yang juga terdiri daripada hakim Supang Lian dan Mariana Yahya, kemudian sebulat suara membenarkan rayuan untuk mengembalikan semula kes itu ke Mahkamah Tinggi agar pihak-pihak berkenaan menyelesaikan saman itu.

Melalui persetujuan kedua-dua pihak, Mahkamah Rayuan turut mengarahkan Teng membayar kos RM75,000 kepada Lim.

Susulan keputusan hari ini, pengurusan kes di hadapan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang ditetapkan pada 22 Nov.

Lim dan Teng bersetuju untuk merekodkan perintah persetujuan mereka untuk menyelesaikan saman itu di hadapan Mahkamah Tinggi.

Pada April 2017, Lim yang merupakan ketua menteri Pulau Pinang ketika itu memfailkan saman fitnah terhadap Teng, editor berita Star Media Group Bhd, David Tan dan wartawan, Crystal Chiam Shiying.

Teng kemudian memfailkan permohonan membatalkan saman berkenaan atas alasan ketua menteri tidak dibenarkan memfailkan saman sedemikian.

Tahun lalu, dilaporkan bahawa rayuan Lim di Mahkamah Rayuan untuk mengembalikan semula saman itu ditangguhkan, sementara menunggu rayuan berasingan di Mahkamah Persekutuan diselesaikan.

Rayuan berkenaan adalah berhubung rayuan dalam saman fitnah berasingan terhadap Perkasa dan presidennya, Ibrahim Ali.

Pada 26 Feb tahun ini, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan Lim berhubung saman terhadap Perkasa, yang memutuskan bahawa seseorang pegawai kerajaan boleh memfailkan saman fitnah fitnah atas kapasiti peribadinya.

Berikutan keputusan mahkamah tertinggi itu, rayuan Lim dalam saman fitnah terhadap Teng dikemukakan semula di Mahkamah Rayuan hari ini.