Skip to main
Logo Malaysiakini

MT Umno: Bersatu juga bertanggungjawab atas manifesto PH

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Bersatu cuba memadamkan fakta bahawa parti itu tunjang kepada manifestok Pakatan Hadapan (PH) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kata Razlan Rafii.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno itu berkata apakah Bersatu yang kini menunjanggi Perikatan Nasional (PN) tidak mahu mengakui “pembohongannya” bersama PH.

"Berdegar dewan semalam apabila pemimpin PN berkata PH menipu rakyat dengan janji manifesto, tol percuma dan minyak turun dibangkitkan semula dalam ceramah online PN semalam.

"Mereka macam nak butakan mata, buat silap mata dan padamkan fakta yang terpahat di dalam Internet bahawasanya, PPBM (Bersatu) bukan merupakan tunjang kepada janji manifesto PH ketika itu.

"Hari ini, PPBM dan sekutu mereka, sama-sama mahu 'tai chi' isu menifesto dan berlagak baik seumpama apa yang telah di tipu kepada rakyat tempoh hari bukan salah PPBM mahupun PH," katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Razlan, Bersatu dan sekutunya mahu mengalih isu manifesto dan berlagak baik seumpama apa yang telah ditipu kepada rakyat tempoh hari bukan salah parti itu mahupun PH.

Katanya itulah hakikat lakonan demi lakonan yang dihidangkan kepada Rakyat, semasa menikmati kejayaan bersama PKR dan DAP dalam PH.

Bersatu yang ketika itu bersama PH katanya mempertahankan manifesto dan berjanji selama 100 hari untuk melaksanakannya.

"Tidak sampai enam bulan setelah PH memerintah, PH sudah tidak popular, masa itu PPBM dan rakan-rakan mula salah menyalahkan," katanya.