Nazir pernah pertimbang umum sokong PH ketika kemuncak skandal 1MDB
Menjelang pilihan raya umum ke-14, pengerusi CIMB ketika itu Nazir Razak mengaku kecenderungannya terhadap Pakatan Harapan berbanding BN - yang dibina oleh bapa dan dipimpin abangnya.
Pendirian itu susulan munculnya skandal 1MDB - yang Najib Razak dilaporkan berkali-kali mengetepikan nasihat dan amarannya.
Nazir berkata sokongannya kebanyakan diberikan di belakang tabir.
Bagaimanapun, pada suatu ketika, dia ada berbincang dengan isteri Azlina Aziz untuk mengumumkan secara terbuka.
“Dia sokong saya letak jawatan sebagai pengerusi CIMB bagi membolehkan saya sokong kempen pilihan raya PH,” katanya dalam memoir yang baru diterbitkan.
Azlina, katanya, menaja kempen pulang mengundi.
Pada Januari 2014, Nazir menulis berkaitan legasi bapanya yang berjimat cermat dan bertanggungjawab dengan dana awam, yang diharapkannya menjadi peringatan kepada Najib dalam isu 1MDB.
Katanya, susulan penyiaran artikel itu di akhbar, dia, isteri dan anak-anak menjadi mangsa serangan tentera siber yang dipercayainya datang daripada kem Najib.
Isterinya, kata Nazir, mahu menuding jari secara terbuka kepada Najib dan isterinya Rosmah Mansor.
Ingin mengelakkan pertembungan terbuka, Nazir berkata, dia kemudian menelefon Najib.
“Dia nafi tahu-menahu dengan serangan itu tetapi mengaku ia mungkin datang daripada kemnya.
“Orang marah dengan saya (Nazir), jelas Najib, kerana menulis artikel itu,” kata Nazir.
Dalam buku biografinya, Nazir membuat spekulasi bahawa serangan maya itu bertujuan menakut-nakutkannya daripada mengulas isu 1MDB.
Perkara itu dilaporkan menjejaskan hubungan Azlina dan Najib.
Ia dikatakan menyebabkan Najib mengelak majlis sosial melibatkan adik iparnya, termasuk majlis berbuka puasa Ramadan pada 2015 di mana Rosmah dikatakan memarahi Nazir.
Nazir bagaimanapun berkata tidak jadi menyokong PH secara terbuka selepas mendapat nasihat daripada Rafidah Aziz dan Ngaire Woods, ahli akademik daripada Universiti Oxford.
Katanya, Rafizah tidak menggalakkan perkara itu kerana ia boleh membuatkan ibu mereka Rahah Noah sedih.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai