Skip to main
Logo Malaysiakini

Shamsul Iskandar kecewa tak dapat lawan Rafiq di Paya Rumput

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PRN MELAKA | Asalnya Shamsul Iskandar Md Akin berharap, apabila namanya dipilih untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri Paya Rumput, dia akan dapat berdepan dengan pemimpin kanan Bersatu, Mohd Rafiq Naizamohideen.

Shamsul Iskandar merupakan ketua penerangan PKR nasional manakala Mohd Rafiq ialah naib presiden Bersatu merangkap pengerusi parti itu untuk Melaka.

Namun apabila senarai calon diumumkan dan susunan strategi parti lain didedahkan, Shamsul Iskandar "kecewa" kerana hasratnya tidak kesampaian. Dia tidak dapat bertembung dengan Mohd Rafiq kerana Bersatu memindahkan bekas exco Melaka itu ke Telok Mas.

Paya Rumput berada di bawah kawasan parlimen Tangga Batu, manakala Telok Mas dalam kawasan Kota Melaka.

Kata Shamsul Iskandar dia berharap apabila berdepan dengan Mohd Rafiq, kedua-dua calon boleh membentangkan agenda masing-masing untuk dinilai pengundi.

Calon lain yang bersaing di Paya Rumput ialah anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno merangkap Ketua Pemuda Umno Tangga Batu, Rais Yasin, mewakili BN, Mohamad Hashidi Mohd Zain (Putra) dan Mohd Jaini Dimon (bebas).

PN pula menurunkan Muhammad Faris Izwan Mazlan dari Bersatu.

“Saya memang jangkakan akan berlawan dengan Rafiq,” kata Shamsul Iskandar ketika ditemubual oleh Malaysiakini baru-baru ini.

Bukan asing jadi MP, Adun

Tambahnya secara relatif dia, Rais dan Mohd Rafiq merupakan sebahagian daripada calon muda dalam PRN ini dan bakal mewarisi kepimpinan parti.

“Sebab saya tahu penyandangnya ialah Rafiq, dan Rafiq merupakan naib presiden Bersatu. Maka pada saya sewajarnyalah untuk berlawan dengan Rafiq dan kemudian dengan Rais yang juga ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno," katanya.

Shamsul Iskandar yang juga ahli parlimen Hang Tuah Jaya berkata sesuai untuk pengundi Paya Rumput memilih calon yang mempunyai jawatan di peringkat pusat sama ada dari Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) atau BN.

Mengulas lanjut Shamsul Iskandar berkata, tujuan dia bertanding dengan kedua-dua pemimpin kanan Bersatu serta Umno itu kerana ingin mewujudkan persaingan sengit dan sihat.

Bekas timbalan menteri industri utama itu juga mengakui terdapat pihak mempertikaikan mengapa dia perlu bertanding di peringkat negeri sedangkan sudah memenangi kerusi parlimen.

Katanya, ia bukan satu perkara yang menghairankan dalam PH kerana beberapa pemimpin kanan dalam gabungan itu juga menjadi wakil rakyat yang berbeza serentak.

Pengerusi Bersatu Melaka Mohd Rafiq Naizamohideen

Misalnya, kata Shamsul Iskandar, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang mewakili DUN Air Putih dan parlimen Bagan, dan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution (Kulim-Bandar Baru di Kedah dan DUN Pantai Jerejak, Pulau Pinang).

Malah katanya Presiden Bersatu yang juga Pengerusi PN Muhyiddin Yassin mewakili parlimen Pagoh dan pada masa sama menjadi Adun Gambir di Johor.

Selain itu kata Shamsul Iskandar, dia ingin bertanding di Paya Rumput kerana ia merupakan kawasan DUN bersebelahan parlimennya dan sudah menjalankan kerja-kerja di situ sejak 2013 namun tidak berpeluang bertanding pada PRU lalu.

“Sebenarnya ini tempat tumpuan bagi PKR. Dah ada peluang sebegini, saya mencadangkan pada parti supaya saya diberikan pertimbangan untuk bertanding,” katanya.

Ambil pendekatan bijaksana

Menjawab berhubung penerimaan akar umbi PKR di Paya Rumput selepas dikatakan mereka tidak senang dengan kehadiran Shamsul Iskandar, dia mengakui situasi berkenaan namun menjelaskan ia berjaya diselesaikan secara dalaman.

Katanya mereka mengadakan pertemuan dengan penyelaras kawasan Paya Rumput serta jentera parti.

"Pada peringkat awal sebahagian daripada mereka memang berasa marah tapi ini adalah realiti dalam parti politik. Ada keputusan yang tidak disukai, ada keputusan yang kita sokong,” katanya.

Ginie Lim

Tambah Shamsul Iskandar, situasi yang sama berlaku di Machap Jaya apabila penyandangnya, Ginie Lim, digugurkan terus daripada menjadi calon dan digantikan dengan Lau Beng Hau. 

“Perkara ni harus ditangani secara bijaksana. Ini bukan kali pertama PKR buat keputusan dan menerima pelbagai reaksi daripada anggota.

“PKR dah lalui pilihan raya, banyak pilihan raya. Namun, kita ambil pendekatan yang bijaksana.

“Ada alasan-alasan tertentu yang kita berikan. Sudah tentu sebahagiannya nak terima sebahagiannya tak terima. Namun dalam hal ini kita harus terus ke depan,” katanya.

Sementara itu, Shamsul berkata isu utama yang akan diperjuangkan di Paya Rumput adalah masalah banjir, perparitan dan saliran, peruntukan penyelenggaraan yang dikurangkan dan jaringan internet yang lemah.

“Sebab tulah saya nak lancarkan aplikasi ‘Reportlah’ ni supaya rakyat dapat buat aduan terus kepada pusat khidmat kalau saya diberikan amanah dan menang di Paya Rumput,” katanya mengenai aplikasi yang akan dilancarkan awal minggu depan.