Skip to main
Logo Malaysiakini

Covid-19: Nilai Rt meningkat, KJ minta rakyat terus waspada

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin meminta rakyat Malaysia supaya terus berwaspada memandangkan kadar kebolehjangkitan Covid-19 di negara ini meningkat ke paras tertinggi sejak Ogos lalu.

Khairy berkongsi di Twitter carta yang menunjukkan nilai kebolehjangkitan Covid-19 (R-naught) kini adalah 1.04.

"Rt negara ialah 1.04. Pakai pelitup muka anda. Elakkan tempat yang sesak. Warga emas, terutamanya, perlu mendapatkan suntikan penggalak mereka apabila ia tersedia untuk mereka. Amalkan #TRIIS," kata Khairy di Twitter.

TRIIS merujuk kepada test (ujian), report (lapor), isolate (kuarantin atau pengasingan kendiri), inform (memaklumkan) dan seek (mendapatkan rawatan segera).

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah memberi amaran bahawa R-Naught 1.0 merupakan tanda awal kes positif wabak itu akan melonjak.

Nilai R-naught melebihi 1.0 menunjukkan penularan virus yang meningkat, manakala nilai di bawah 1.0 pula menunjukkan penyebaran virus semakin perlahan.

Perintah kawalan pergerakan dan usaha vaksinasi besar-besaran telah membantu negara mengawal wabak Covid-19 dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Sejak September llau, jumlah kes Covid-19 menurun tetapi kini mula menunjukkan tanda-tanda peningkatan.

Kali terakhir nilai R-naught melebihi 1.0 adalah pada 31 Ogos lalu iaitu 1.02.

Peningkatan kes berlaku hanya sebulan selepas larangan perjalanan rentas negeri ditarik balik.

Pembatalan sekatan perjalanan rentas negeri sebelum ini juga menyebabkan lonjakan kes Covid-19.

Individu yang divaksinasi sepenuhnya kurang berkemungkinan mengalami simptom teruk atau kematian apabila dijangkiti Covid-19.

Bagaimanapun, keberkesanannya akan berkurang dari semasa ke semasa, menyebabkan Kementerian Kesihatan mengambil langkah untuk memberikan suntikan penggalak kepada orang ramai.