Skip to main
Logo Malaysiakini

Sulaiman tolak kemungkinan DUN Melaka tergantung lepas PRN

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PRN MELAKA | Calon Ketua Menteri BN Sulaiman Md Ali menolak kemungkinan DUN Melaka tergantung selepas pilihan raya di negeri itu.

Ini kerana Sulaiman yang juga calon DUN Lendu berkata dia yakin bahawa Umno mampu memenangi kesemua 20 kerusi yang ditandingi untuk PRN Melaka.

"Tak mungkin (DUN tergantung)," katanya kepada Malaysiakini di kediaman calon BN Pantai Kundor Tuminah Kadi @ Mohd Hashim.

Dia berkata demikian apabila ditanya mengenai kemungkinan terdapat situasi DUN tergantung dalam pembentukan kerajaan negeri pada 20 November ini.

Malah katanya, buat masa ini tidak timbul isu akan bergabung dengan Pakatan Harapan atau Perikatan Nasional sekiranya hal itu berlaku.

"Not at the moment. Kita tunggu selepas pilihan raya.

"Kita yakin akan dapat ambil semula kerajaan," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai klip video tular yang didakwa membabitkan pemimpin kanan Umno Melaka, Sulaiman berkata ia tidak memberi kesan terhadap kempen BN.

"No. Tidak ada beri kesan kepada kempen.

"Sekarang bila musim kempen lagi nak dekat lagi macam-macam fitnah yang akan keluar," katanya.

Klip video itu didakwa memaparkan seorang pemimpin kanan Umno Melaka yang melakukan gangguan seksual terhadap seorang pekerja wanita di sebuah hotel di negeri tersebut.

Pun begitu difahamkan, video berkenaan merupakan dakwaan yang pernah dilaporkan tahun lalu.

Menurut laporan Berita Harian pada Okt 2020, pihak polis telah merakam keterangan beberapa saksi berhubung dakwaan penyebaran fitnah terhadap pemimpin itu.