Skip to main
Logo Malaysiakini

Jangan salahkan Amanah tuduhan keganasan rumah tangga Hasnul

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Amanah tidak harus dipersalahkan sekiranya pertuduhan keganasan rumah tangga yang dikaitkan dengan Adun Morib Hasnul Baharuddin adalah betul, kata Naib Presidennya, Dr Siti Mariah Mahmud.

Sebaliknya kata Adun Seri Serdang itu, Hasnul yang juga ahli jawatankuasa pimpinan Amanah perlu bertanggungjawab sepenuhnya dan mesti menerima sebarang akibat daripada tindakannya itu sekiranya dibuktikan benar oleh pihak berkuasa.

"Kalau ini benar-benar berlaku dan polis mengesahkan, maka kesannya sepatutnya atas individu bukan atas parti.

"Parti tidak boleh dipersalahkan," kata Siti Mariah kepada Malaysiakini ketika dihubungi hari ini.

"Hanya selepas polis buat siasatan dan ada keputusan mahkamah syariah barulah ahli dan pimpinan parti boleh buat keputusan masa depan politik seseorang pimpinan itu

"Sebagai pimpinan sudah tentu ambang sahsiah lebih tinggi berbanding orang biasakan," kata Mariah yang mendakwa tidak mengetahui hal dalaman keluarga Adun Morib itu.

Gambar fail, Adun Morib Hasnul Baharuddin.

Bekas ketua Wanita Amanah (Awan) itu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai siasatan polis yang sedang dijalankan terhadap Hasnul atas dakwaan keganasan rumah tangga dan menyebabkan kecederaan, berdasarkan laporan yang dibuat oleh bekas isterinya, Juliani Jalilah Abdullah.

Juliani, 38, dalam laporannya, mendakwa Hasnul telah menyerangnya kira-kira jam 11 malam pada 21 Ogos di rumah mereka di Banting sehingga menyebabkan kecederaan di muka, selepas dia menolak permintaan Adun Morib itu untuk berkahwin semula dengan bekas isteri keduanya.

Juliani sebelum ini mendedahkan dia mempunyai gambar wajahnya diambil sejurus selepas kejadian itu, dikemukakan semasa prosiding di Mahkamah Syariah Rendah Kuala Langat pada Khamis lalu yang mengesahkan lafaz cerai Hasnul.

Menurutnya, laporan itu dibuat beberapa bulan selepas kejadian itu untuk dikemukakan bagi rujukan Mahkamah Syariah dan tindakan lanjut terhadap Hasnul.

‘Dia terkam, tampar dua tiga kali,” katanya.

Juliani menjelaskan dia tidak segera membuat laporan polis kerana Hasnul pada masa itu memujukkan untuk tidak berbuat demikian.

“Kejadian berlaku pada 21 Ogos. ketika itu saya kena pukul sebab suami saya minta nak berpoligami," kata Julaini.

Katanya, Hasnul telah mengaku di hadapan mahkamah bahawa dia pada 14 Okt melalui mesej WhatsApp menyatakan hasratnya untuk menceraikannya dengan "talak tiga" atau tahap perceraian tertinggi di bawah undang-undang syariah.

Hasnul, yang telah menceraikan kedua-dua isteri pertama dan kedua selepas mengahwini Juliani sebagai isteri ketiganya lapan tahun lalu, turut mengesahkan pengakuannya di mahkamah.

Bagaimanapun Hasnul memberitahu Malaysiakini semalam dia enggan mengulas lanjut isu berkenaan kerana ia perkara peribadi.

'Pukul isteri, cerai melalui WhatsApp tidak boleh diterima'

Siti Mariah berkata, menjadi pendirian umum bahawa sesuatu yang tidak boleh diterima apabila seorang lelaki memukul isterinya atau menceraikannya melalui mesej.

"Kita bernikah secara bersemuka, maka kalau nak bercerai pun wajib begitu juga baru namanya tindakan yang berani dan beradab.

"Kepada kaum lelaki kalau sudah tidak menyukai sang isteri lepaskanlah dengan cara berhemah. Kenangilah masa masa bahagia bersama. Perkahwinan tidak harus berakhir dengan perasaan marah dan berdendam," katanya menjelaskan kenyataan itu dibuat secara umum.

Seorang lelaki Islam dibenarkan di bawah undang-undang Islam untuk menceraikan isterinya sama ada dengan talak satu, dua atau tiga - yang pertama dan kedua masih ada peluang untuk berdamai atau rujuk- namun jika talak tiga tiada lagi ruang perdamaian.

Siti Mariah yang juga exco Selangor yang bertanggungjawab dalam bidang kesihatan, perpaduan, pemerkasaan wanita dan keluarga berkata, dia tidak boleh menerima sebarang alasan untuk seorang lelaki mewajarkan penggunaan talak tiga bagi menceraikan isterinya.

"Perceraian memang isu peribadi, namun secara umumnya perceraian secara WhatsApp adalah satu perkara yang saya tidak boleh bersetuju," katanya lagi.

[Baca laporan asal]