Skip to main
Logo Malaysiakini

'Pergaduhan dalaman PH tak sampai tahap Umno-Bersatu'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Adun Pasir Pinji Howard Lee mengingatkan Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu bahawa sebarang ketegangan dalaman dalam Pakatan Harapan (PH) Perak tidak pernah menyebabkan parti sekutu untuk menyerang rakannya sendiri seburuk yang berlaku antara Umno dan Bersatu.

Ketua Pemuda PH itu berkata Faizal, yang juga timbalan presiden Bersatu, disingkirkan sebagai menteri besar Perak melalui usul yang dimulakan oleh ahli parlimen Umno, sekutu parti itu dalam Perikatan Nasional (PN) selepas pembelotan yang membawa kepada perubahan dalam kerajaan persekutuan.

Faizal pertama kali dilantik sebagai menteri besar Perak di bawah kerajaan negeri PH dan Lee, bekas exco negeri, menafikan dakwaan Faizal yang dilaporkan perlu “mengurus” pertengkaran harian antara DAP dan Amanah, bersama PKR dan Bersatu.

"Mungkin beliau telah lupa bahawa acap kali sesuatu isu bangkit yang tidak mencapai konsensus antara keempat-empat parti, beliau sendiri yang melaga-lagakan hubungan baik antara ahli-ahli exco.

"Keadaan ini bukan sahaja berlaku antara parti yang berbeza, malah ada ketika ia daripada parti yang sama," katanya.

Lee berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Faizal pada Khamis yang disiar secara langsung sebagai sebahagian kempen pilihan raya negeri (PRN) Melaka.

"Selaku salah seorang anggota exco (Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri) yang dikepalai oleh beliau, saya boleh sahkan bahawa, meski ada ketegangan antara ahli-ahli inidividu - perhubungan antara DAP dan Amanah tidak pernah sampai bergaduh," katanya.

"Nasihat saya kepada beliau dari orang Perak kepada orang Perak; Nak beda’ah pun, jangan ludah langit ate muka miker sendiri yang kena. Jangan ingker nak nyangkoi kubor orang, nanti miker sendiri yang jerombab ke dalam (Kalau hendak berbohong, jangan sampai meludah langit sehingga muka sendiri yang kena; jangan seronok sangat menggali kubur orang, nanti sendiri pula yang jatuh ke dalam)," tambah Lee lagi.

Lee mendakwa bahawa Faizal pernah cuba meyakinkan exco DAP, PKR dan Amanah yang membangkitkan kebimbangan mengenai kesan alam sekitar berhubung rancangan pembinaan kilang unsur nadir bumi bukan radioaktif dan kilang penapisan minyak mentah, bahawa terdapat pihak yang bersetuju dengan projek itu.

"Tetapi di luar mesyuarat pula, mantan menteri besar sendiri membisikkan kepada ahli exco yang menolak cadangan tersebut.

"Kononnya, ada diantara ahli exco dari parti rakan dan parti kami sendiri telah bersetuju. Akhirnya kami dapat tahu kesemua itu adalah tidak benar dan hanya kisah dongeng ciptaan mantan menteri besar sendiri.

"Banyak lagi contoh kejadian tipu-menipu seperti ini," katanya.

Tambah Lee, pergaduhan kerana hendak melakukan dan mencapai keputusan yang terbaik adalah lumrah politik.

"Selama ketiga-tiga parti Amanah, DAP dan PKR ini bersama, memang tidak pernah menafikan masing-masing agak kerap membawa pendapat dan pendirian yang berbeza.

"Namun akhirnya kita tetap mendakap semangat meski pendapat yang berbeza, tetapi akhirnya kami pertahankan keputusan yang dibuat bersama, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing," katanya.