Skip to main
Logo Malaysiakini

69% jalani dialisis buah pinggang terdiri dari pesakit diabetes

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Enam puluh sembilan peratus pesakit baru yang menjalani dialisis menghidap diabetes tahap 2, menurut laporan Dialisis dan Pendaftaran Pemindahan Organ Malaysia 2018.

Dalam satu kenyataan hari ini, Presiden Persatuan Nefrologi Malaysia (MSN) Dr Abdul Halim Abdul Gafor menyuarakan kebimbangan mengenai trend membimbangkan di mana lebih ramai rakyat Malaysia disahkan menghidap diabetes tahap 2.

Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan, kadar kelaziman penyakit diabetes di kalangan orang dewasa meningkat daripada 13.4 peratus pada 2015 kepada 18.3 peratus pada 2019.

“Gula dalam darah yang tinggi boleh merosakkan saluran darah dalam buah pinggang. Apabila rosak, buah pinggang juga tidak akan berfungsi.

“Ramai pesakit diabetes juga akan mengalami tekanan darah tinggi yang juga boleh merosakkan buah pinggang. Bagaimanapun, dengan penjagaan, perkembangan kepada penyakit buah pinggang kronik (CKD) dalam kalangan pesakit diabetes boleh ditangguhkan.

"Memandangkan buah pinggang adalah salah satu organ yang paling terjejas di kalangan pesakit diabetes, adalah dinasihatkan bagi pesakit kencing manis untuk menjalani ujian darah dan air kencing secara berkala untuk memantau fungsi buah pinggang," kata Halim.

Dia menambah dengan pemantauan berterusan buah pinggang bagi pesakit diabetes, perkembangan kepada CKD boleh diuruskan atau ditangguhkan.

“Peratusan mereka yang menghidap CKD akhirnya akan mengalami kegagalan buah pinggang atau penyakit buah pinggang peringkat akhir (ESKD) dan memerlukan sama ada pemindahan buah pinggang atau dialisis.

“Bagaimanapun, kami ingin menggalakkan pesakit tidak berputus asa kerana pilihan dalam rawatan dialisis dan pengurusan kegagalan buah pinggang telah bertambah baik sejak beberapa tahun lalu.

"Kami melihat pesakit yang menghidap kegagalan buah pinggang hari ini mempunyai kualiti hidup yang jauh lebih baik, berbanding tahun-tahun sebelumnya," kata presiden MSN itu.

Dengan dialisis di rumah atau dialisis peritoneal, pesakit mempunyai lebih kebebasan dan fleksibiliti, kata Halim.

Katanya, ini membolehkan mereka merancang rutin kehidupan untuk menjalani rawatan dialisis.

“Apa yang penting sekarang ialah kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia supaya perubahan gaya hidup yang perlu boleh dilakukan lebih awal kerana langkah awal boleh menghasilkan keputusan yang lebih baik,” tambahnya.

Justeru MSN menggesa semua rakyat Malaysia menjalani pemeriksaan kesihatan untuk mengetahui status kesihatan mereka.