Perang Squid Game di Melaka
PRN MELAKA | Ada satu taktik baru muncul dalam PRN Melaka oleh satu kumpulan tidak dikenali, yang menyasarkan Pakatan Harapan (PH), mengedarkan kad-kad yang berdasarkan siri popular Netflix ‘Squid Game’.
Kad-kad itu diletakkan di cermin depan kenderaan di kawasan Kota Laksamana semalam, di hadapan pejabat DAP di kawasan itu.
Kad itu mengandungi bentuk bulatan, segi tiga dan segi empat - serupa dengan kad di dalam siri hit Korea Selatan itu - tetapi turut mengandungi satu kod QR.
Kod QR itu membawa pengunjung ke satu laman web yang mengandungi empat video pendek. Tidak seperti kebanyakan bahan kempen lain dalam PRN Melaka, video itu halus dalam menyerang.
Video pertama berjudul ‘Melaka Stabil’ menampilkan satu lagu pilihan raya. Apabila lagu tiba di lirik yang meminta pengundi agar tidak tertipu lagi, visual pelancaran manifesto PH pada 2018 dipaparkan singkat.
Ini diikuti dengan visual bekas ahli Umno Idris Haron dan Nor Azman Hassan, yang kedua-duanya bertanding sebagai calon atas tiket PH.
Kumpulan itu menamakan diri mereka sebagai “Frontman Melaka”. Frontman merupakan karakter misteri yang dianggap sebagai dalang dalam ‘Squid Game’.
Pada satu lagi video berjudul ‘Pilih Calon Anda’, seorang lelaki berpakaian serba hitam - seperti Frontman dalam siri itu - menggesa penduduk Melaka untuk menolak “katak”.
“Tolak katak, tolak pengkhianat, dan tolak penipu,” katanya.
Sebuah video pula menyalahkan katak politik atas kejatuhan kerajaan negeri Umno-Bersatu di tengah pandemik Covid-19, manakala satu lagi video adalah tentang prosedur operasi standard.
“Negeri kita bergoncang dengan ancaman si gila kuasa.
“Kini kerajaan dibubarkan, kerana tamakkan kuasa, melompat demi harta, rakyat dibiarkan merana,” kata “Frontman” tersebut.
Umno memecat Idris dan Nor Azman kerana menarik sokongan, seterusnya menumbangkan kerajaan negeri terdahulu.
Idris kini bertanding di kerusi Asahan manakala Nor Azman mempertahankan kerusi Pantai Kundor yang dimenanginya di bawah BN.
Mereka dipertaruhkan di bawah kuota PKR dan Amanah, meskipun ditentang DAP.
DAP bergelut untuk menjelaskan keputusan sekutunya itu kepada para penyokongnya semasa kempen PRN.
Tidak berdiam diri, penyokong PH hari ini mengenakan sut lagak karakter Squid Game dan mengedarkan kad serupa yang mengandungi bentuk bulatan, segi tiga dan segi empat, dalam flash mob sekitar bandar Melaka.
Di belakang kad itu terkandung pesan agar penduduk Melaka menyokong PH.
Tukang kempen tidak terlalu menonjolkan diri kerana takut menarik perhatian pihak berkuasa kesihatan yang mengenakan denda yang tinggi. Kempen fizikal adalah dilarang ekoran pandemik Covid-19.
Tukang kempen bertopeng penuh, melindungi identiti diri mereka.
‘Ancaman DAP ke atas Melayu Islam’
Low Chee Leong dari DAP mempertahankan kerusinya di Kota Laksamana. Dia berdepan calon BN Benjamin Low Chin Hong dan calon PN Fong Khai Ling.
Dalam PRU lalu, Chee Leong menang dengan 81.68 peratus undi, menjadikan Kota Laksamana kerusi yang relatif selamat buat DAP.
Lain pula halnya di Gadek, apabila kempen berbeza didapati memainkan sentimen agama dan ketakutan rakyat.
Buku kecil berjudul ‘44 Ancaman DAP ke atas Melayu Islam’ diedarkan, terutamanya di kawasan luar bandar kawasan berkenaan.
Dalam PRU lalu, G Saminathan dari DAP menang tipis dengan hanya 42.47 peratus undi dalam pertarungan tiga penjuru. Majoritinya hanya sebanyak 307 undi.
Satu halaman buku itu menampilkan setiausaha publisiti sayap wanita DAP Johor Marina Ibrahim dengan judul “Jadilah seperti babi.”
Ia memaparkan komen Facebook Marina pada 2019 yang mengucapkan “Selamat Tahun Baru Cina”. 2019 ialah tahun babi mengikut zodiak Cina.
Dalam hantaran itu, Marina berkata bagi mempunyai pelbagai kegunaan, maka manusia juga harus hidup dengan memberikan manfaat kepada orang lain.
Ia turut memaparkan komen daripada penyandang kerusi Pengkalan Batu Adun Norhizam Baktee Hassan yang mengaku dirinya sebagai barua DAP.
Kempen untuk PRN Melaka bermula 8 Nov. Penduduk Melaka akan mengundi untuk memilih 28 wakil rakyat Dewan Undangan Negeri pada 20 Nov.
Laporan tambahan oleh Raveena Nagotra.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai