Skip to main
Logo Malaysiakini

PN kaji semula projek tambakan BN jika menang PRN Melaka

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PRN MELAKA | Perikatan Nasional (PN) berjanji akan mengkaji semula daya maju ekonomi Projek Pembangunan Zon Ekonomi Persisiran Pantai Melaka (M-WEZ) sekiranya gabungan itu mendapat mandat untuk menerajui kerajaan negeri Melaka.

Pengerusi PN Melaka, Mohd Rafiq Naizamohideen berkata tiada masyarakat yang harus dipinggirkan atas nama pembangunan selepas nelayan di negeri ini mengadu tentang penderitaan mereka yang berpunca daripada beberapa projek tambakan laut.

“Sekiranya PN dapat menerajui kerajaan negeri, kita akan mengkaji kebolehlaksanaan projek M-WEZ ini, atau sejauh mana ia memberi manfaat bukan sahaja kepada negeri tetapi juga kepada rakyat termasuk di kawasan sekitarnya.

“Dalam membangunkan negeri kita, kita mesti pastikan tidak ada golongan yang terabai seperti golongan nelayan ini. Kita mesti memastikan kebajikan mereka.

“Projek pembangunan tidak seharusnya menjejaskan keupayaan mereka untuk mencari rezeki,” katanya kepada Malaysiakini dalam satu temu bual.

 Rafiq, yang merupakan ahli Bersatu, menjawab laporan Malaysiakini yang menyorot nasib nelayan di negeri itu yang mengadu bahawa kemampuan mereka untuk menampung kehidupan terjejas teruk akibat beberapa projek tambakan laut yang sedang dijalankan.

Mereka berkata projek itu telah merosakkan ekosistem dan alam sekitar, menghalau hidupan marin pantai dan menjejaskan mata pencarian mereka.

Projek-projek penambakan itu lebih kecil berbanding projek M-WEZ, yang berusaha untuk reklamasi separuh daripada keseluruhan pantai Melaka.

Projek M-WEZ dalam manifesto BN

BN telah menggembar-gemburkan projek M-WEZ dalam manifesto PRN Melaka, menyifatkannya sebagai satu anjakan perubahan untuk masa depan ekonomi negeri itu.

Projek mega itu melibatkan 10,000 hektar, dan akan meliputi 33km pesisir pantai Melaka, bermula dari pantai Sungai Udang, dan meliputi sepanjang pantai Pantai Kundor ke Kelebang, Kesidang, Kota Laksamana, Bandar Hidir, Telok Mas, sehingga bahagian utara dari Serkam.

Ia akan melibatkan penambakan pantai Melaka, mewujudkan kawasan besar tanah baru.

 

Ia akan dibangunkan menjadi kawasan pelabuhan, kawasan perniagaan, perbandaran dan pusat logistik.

Menurut Rafiq, yang bertanding di kerusi DUN Telok Mas, PN akan berusaha untuk memastikan keadilan ditegakkan kepada nelayan.

“Jika kita menjadi kerajaan negeri, PN akan melihat sejauh mana projek ini akan memberi manfaat kepada negeri dan kemudian kita akan membuat keputusan berdasarkan itu.

“Tetapi apa pun keputusannya, ia pasti akan mengambil kira kepentingan masyarakat nelayan dari setiap aspek termasuk pendapatan bulanan mereka, dan sekiranya projek itu diteruskan, bentuk pampasan yang sepatutnya mereka peroleh,” katanya.

 

Projek itu telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Melaka pada September, dengan kesemua 11 Adun pembangkang daripada PKR, DAP dan Amanah mengundi menentangnya.

Bagaimanapun, jumlah mereka dikalahkan oleh 16 Adun kerajaan, termasuk Rafiq, yang mengundi menyokong. Seorang Adun kerajaan tidak hadir.

'PN ikut disiplin parti'

Ditanya mengapa dia mengundi menyokong projek itu semasa kerajaan Umno-Bersatu, Rafiq mempertahankan sokongan PN dalam membuat keputusan.

“M-WEZ diluluskan oleh kerajaan negeri yang diterajui BN. Tetapi ketika itu PN hanya minoriti, dan semua keputusan dibuat atas dasar majoriti.

“Kita juga terikat dengan prinsip perpaduan dalam kerajaan, ada disiplin dalam mengundi, contohnya dalam DUN.

“Jika kita mengundi menentang dasar atau kehendak majoriti dalam kerajaan, yang telah diputuskan oleh exco negeri, maka kita akan dilihat sebagai menentang kerajaan,” katanya (gambar).

 

BN dan PN akan bersaing dalam pilihan raya Melaka, selain Pakatan Harapan, menjadikan sekurang-kurangnya pertarungan tiga penjuru di semua 28 kerusi DUN.

Di Melaka, BN terdiri daripada Umno, MCA dan MIC manakala PN dianggotai Bersatu, PAS dan Gerakan. PH terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah.

Pilihan raya Melaka diadakan berikutan hilang sokongan kepada ketua menteri Sulaiman Md Ali.

Ini selepas dua Adun Umno bersama-sama seorang Adun Bersatu dan seorang Adun Bebas yang sebelum ini bersama DAP, menarik balik sokongan mereka kepadanya.

Sebelum penarikan sokongan itu, kerajaan negeri pimpinan Sulaiman terdiri daripada 13 Adun Umno, dua wakil Bersatu dan dua wakil bebas.

Penaman calon diadakan pada 8 Nov. Hari mengundi dijadual pada 20 Nov.