Skip to main
Logo Malaysiakini

Bekas CEO 1MDB: Najib tak pernah cuba jarakkan diri dari Jho Low

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

KES 1MDB NAJIB | Bekas perdana menteri Najib Razak tidak pernah cuba untuk menjarakkan dirinya daripada Low Taek Jho, menurut bekas CEO 1MDB Mohd Hazem Abdul Rahman.

Dia berkata demikian dalam keterangannya ketika perbicaraan rasuah terhadap Najib berkaitan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Hazem yang merupakan saksi pendakwaan kesepuluh berkata, Najib dan Jho Low "sangat, sangat rapat" ketika berkomunikasi di Langgak Duta, Kuala Lumpur pada 2013.

Menjawab soalan ketika pemeriksaan semula oleh timbalan pendakwa raya Gopal Sri Ram, Hazem berkata "Jho Low adalah orang PM".

Ketika perbicaraan pada 20 September 2021, Hazem dalam keterangannya berkata dia melihat Jho Low ada dalam pertemuan ahli lembaga pengarah dan pegawai tertinggi 1MDB di rumah Najib bagi membincangkan perihal audit KPMG terhadap syarikat itu, pada 2013.

Mohd Hazem Abdul Rahman

Sri Ram: Ketika pertemuan di rumah PM, adakah tertuduh melakukan apa-apa untuk menjarakkan dirinya dengan Jho Low?

Hazem: Tidak.

Katanya lagi, Najib tidak pernah mengarahkannya untuk tidak mengikut sebarang arahan daripada Jho Low berkaitan soal pengurusan dan kewangan 1MDB.

Dia juga menafikan ada menerima wang berkaitan transaksi keluar daripada 1MDB.

Sri Ram: Adakah anda menerima manfaat kewangan daripada transaksi?

Hazem: Tidak.

Dia juga menafikan pernah bersubahat dengan Jho Low dan pegawai 1MDB tertentu dalam mengeluarkan wang daripada syarikat itu, dan berkata tidak pernah menerima wang daripada ahli perniagaan itu.

Dalam perbicaraan sebelum ini, pasukan pembelaan Najib berhujah yang Hazem berpakat dengan Low dan beberapa lagi pegawai 1MDB ketika itu dalam pemindahan wang keluar yang meragukan daripada syarikat itu.

Pasukan pembelaan juga berkata Najib tidak tahu-menahu berkenaan sebarang salah laku dalam 1MDB.

Najib kini dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.28 bilion dana 1MDB.

Hazem: RM45 juta masuk ke akaun Najib

Ketika perbicaraan hari ini, Hazem juga berkata RM45 juta daripada pinjaman yang dibuat 1MDB dengan Deutsche Bank untuk membeli semula saham daripada Aabar akhirnya dimasukkan ke akaun peribadi Najib.

Ketika menjawab soalan Sri Ram, dia berkata wang itu melalui sejumlah transaksi "berpusing-pusing" (circuitous route) melibatkan akaun Aabar Investments PJS Limited di UBS AG di Singapura, ke akaun Vista Equity International Partners Limited di Barbados, dan kemudian ke akaun Amprivate Banking dengan nombor berakhir 880 milik Najib di AmIslamic Bank Berhad, Malaysia.

Perbicaraan di depan hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung pagi esok.

[Baca berita asal]