Skip to main
Logo Malaysiakini

Putrajaya tak benar 'teksi kapcai' sebab risiko nahas jalan raya

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PARLIMEN | Putrajaya memutuskan untuk tidak memperkenalkan perkhidmatan e-hailing motosikal di Malaysia berikutan statistik tinggi kematian jalan raya membabitkan penunggang motosikal pada 2019, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Henry Sum Agong.

“Oleh yang demikian, pada masa ini, Kementerian Pengangkutan tidak mempunyai sebarang perancangan untuk memperkenalkan perkhidmatan e-hailing atau teksi motosikal mengambil kira pelbagai aspek terutamanya isu keselamatan dan kebajikan penumpang.

“Hal ini mengambil kira bahawa risiko nahas jalan raya termasuk kematian atau kecederaan adalah amat tinggi melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal di Malaysia.

“Selain itu, isu-isu melibatkan pematuhan kepada undang-undang dan peraturan jalan juga menjadi satu perkara yang perlu diberi perhatian serius dalam kalangan pengguna motosikal sedia ada," katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Henry menjawab soalan Larry Sng (Bebas-Julau) berhubung rancangan komprehensif kementerian untuk menjadikan servis perkhidmatan e-hailing teksi motosikal sebagai salah sebuah pelengkap perkhidmatan awam yang baharu di negara ini.

Kata Henry kekurangan garis panduan jalan raya di kalangan pengguna motosikal juga antara isu yang diteliti kerajaan.

"Kementerian akan meneruskan kajian secara berterusan bagi menilai semua aspek berkaitan perkhidmatan ini sebelum sebarang hala tuju mengenainya dipertimbangkan kelak,” katanya.

Pun begitu, Larry tidak berpuas hati dengan penjelasan tersebut dan menyentuh mengenai negara jiran seperti Indonesia yang telah memperkenalkan perkhidmatan sedemikian.

Henry kemudian mempertahankan keputusan kerajaan itu dan mendedahkan perangkaan kematian melibatkan motosikal pada 2019.

“Mengikut statistik pada 2019 yang dilaporkan oleh PDRM, penunggang motosikal adalah golongan paling tinggi mangsa nahas jalan raya mewakili 64 peratus daripada jumlah kematian tahun tersebut atau melebihi 3,900 kematian daripada jumlah 6,167 kematian direkodkan pada 2019.

“Maka pihak kerajaan berdasarkan statistik ini, menangguhkan keputusan untuk tidak membenarkan e-hailing motosikal,” katanya.

Lanjutan daripada itu, bekas menteri belia dan sukan era PH Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) membangkitkan kerajaan PH telah meluluskan tempoh percubaan selama enam bulan untuk memperkenalkan perkhidmatan motosikal itu.

"Jawapan Yang Berhormat menteri saya rasa agak malas dan tidak telus, jawapan yang selamat, untuk mengatakan ramai memandu motosikal mengalami kemalangan, ini hanya trend setiap tahun, sedangkan kabinet sebelum ini menetapkan tempoh enam bulan untuk menilai selepas e-hailing motosikal dibenarkan.

“Adakah ada penambahan khusus dari segi kemalangan dalam sektor e-hailing motosikal, kerana statistik yang digunakan tidak spesifik. Malah, kita ada syarikat tempatan telah pun beroperasi kerana keputusan Kabinet, tetapi hari ini buat pertama kali kerajaan menarik semula keputusan itu, ini akan menyebabkan implikasi buruk kepada syarikat-syarikat kecil yang memulakan operasi.

“Saya harap kerajaan mempertimbangkan keputusan ini dan membentangkan data yang jelas menunjukkan dalam tempoh enam bulan, ada kenaikan yang mendadak dari segi kemalangan. Jangan buat keputusan berdasarkan emosi, tidak ikut data,” gesanya.