Skip to main
Logo Malaysiakini

Generasi baru kami tidak gentar, berhak dapat sokongan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN l Lain diharap lain yang dapat -  pelaporan berkaitan kesan sampingan vaksin Covid-19 pasti akan memberi peluru kepada kumpulan antivaksin.

Tetapi kami tetap melakukannya bukan hanya kerana ia perkara betul, tetapi ia akan menjadi lebih teruk sekiranya didapati terdapat penyembunyian. Kumpulan antivaksin akan bergembira sakan. Kita tidak sepatutnya tunduk kepada insentif jangka pendek untuk mengekang maklumat. Mengekalkan keyakinan orang ramai adalah penting jika dunia ingin menang melawan virus itu.

Walaupun kelihatan seperti ada cahaya di penghujung terowong ketika melawan wabak Covid yang panjang itu, perkara yang sama tidak boleh dikatakan tentang perjuangan menentang penyaluran maklumat yang salah. Memerangi maklumat salah terbukti jauh lebih sukar daripada memerangi Covid.

Memang mudah bagi penjaja teori konspirasi menyebarkan maklumat salah. Mereka tidak perlu membuktikan bahawa mereka betul. Apa yang perlu mereka lakukan adalah menyemai keraguan. Maklumat yang salah tidak perlu pujukan. Ia cuma perlu disebarkan supaya sukar buat orang ramai membezakan antara yang baik dan buruk, realiti dan fantasi, kenyataan dan kepalsuan.


Jimat 22 peratus semasa ulang tahun ke-22 kami di sini.


Terima kasih kepada media sosial, kempen sebegini berjaya. Untuk memaksimumkan masa pengguna di platform mereka - dan meningkatkan keuntungan - gergasi teknologi mengubahsuai algoritma mereka untuk membekalkan kandungan yang mengheret ramai daripada kita ke “lubang arnab”.

Malaysiakini juga berdepan dengan penyebaran maklumat yang salah. Berkali-kali, pengkritik membangkitkan isu dana yang membiayai Malaysiakini dan menggambarkan kami sebagai ejen asing - berkhidmat sama ada kepada CIA atau George Soros, atau kedua-dua mereka.

Dan ketelusan yang kami bekalkan mengenai dana yang diterima daripada agensi pembiayaan kadangkala digunakan secara licik terhadap kami. Ini di sebalik dana sedemikian digunakan untuk menjayakan projek sampingan seperti melatih wartawan kemasyarakatan di Malaysia dan membantu syarikat pemula media dalam talian lain di Asia Tenggara. Dana ini mewakili tidak lebih 10 peratus daripada bajet Malaysiakini dan tidak digunakan untuk membiayai perbelanjaan operasi syarikat.

Serangan-serangan ini muncul sekali-sekala dalam dua dekad kewujudan kami, dengan kemuncaknya adalah ugutan untuk meruntuhkan bangunan Malaysiakini oleh penunjuk perasaan pro-Umno beberapa tahun lalu.

Pembiaya projek sampingan kami baru-baru ini adalah Institut Judith Neilson (JNI), yang ditubuhkan oleh seorang wanita terkaya di Australia. Judith Neilson, yang sering dibandingkan dengan bekas isteri Jeff Bezos, MacKenzie Scott, menyumbang A$100 juta (AS$73 juta) kepada JNI untuk menyokong kewartawanan yang berkualiti.

Tahun ini JNI membantu membiayai projek serantau yang disebut sebagai "Dilema arang batu Asia" yang melibatkan wartawan dari enam negara - Malaysia, Indonesia, Vietnam, Korea Selatan, Jepun dan Australia. Malaysiakini adalah sebahagian daripada projek itu dan menghasilkan laporan khas tiga bahagian mengenai isu itu bulan lalu.

Berikut adalah video tiga minit tentang kewartawanan yang disokong JNI yang menampilkan editor laporan khas Malaysiakini, Aidila Razak. Tidak syak lagi, akan ada ahli teori konspirasi yang akan mendakwa bahawa JNI melayani kepentingan Asio - CIA versi Australia. Dan bahawa Malaysiakini adalah tombak terakhir JNI dalam misinya untuk menggugat kestabilan Asia.

Benih-benih ketidakpercayaan

Kebangkitan pergerakan autokratik semakin meningkat - baik di Timur mahupun di Barat. Mereka menyemai benih-benih keraguan, sinis, tidak percaya dan syak wasangka. Mereka mencetuskan rasa kebencian dan keganasan, tetapi pada masa yang sama, menjanjikan undang-undang dan ketenteraman. Taktik ini digunakan oleh fasis pada masa lalu. Kini, taktik yang sama digunakan oleh populis sayap kanan di merata dunia.

Demokrasi tidak akan berfungsi jika pembohongan diberi layanan yang sama sebagai kebenaran, manakala fakta diiktiraf setanding dengan kepalsuan, dan fantasi pula dihiaskan sebagai realiti. Justeru, pada zaman penyaluran maklumat yang salah ini, tugas kami sebagai wartawan adalah lebih penting dan mencabar berbanding sebelum ini.

Malaysiakini genap berusia 22 tahun minggu ini. Sepanjang dua dekad yang lalu, kami telah melalui beberapa masa yang gelap. Namun ada juga beberapa tompokan cahaya yang terang. Paling cemerlang ialah pencapaian luar biasa rakyat Malaysia menukar kerajaan buat pertama kali dalam sejarah negara. Memandangkan ini pernah mereka lakukan, maka tidak mustahil jika sekali lagi ia dilakukan.

Dalam proses itu, kami juga telah melatih sekumpulan wartawan baru yang terdorong dan bertekad untuk mempertanggungjawabkan dan memberitahu kebenaran kepada mereka yang berkuasa. Rata-rata, wartawan kami mungkin masih mentah, tetapi semangat mereka untuk menyempurnakan tanggungjawab masing-masing adalah mengagumkan.

Malah ada yang mempunyai kemahiran yang tidak sempat dipelajari atau dituntut oleh wartawan kanan seperti saya. Dalam dekad akan datang, mereka ini akan menerajui Malaysiakini ke peringkat seterusnya.

Langganan Malaysiakini anda akan menentukan hidup atau mati generasi baru wartawan ini. Mereka layak mendapat sokongan anda. Sesungguhnya, anda membantu membayar kewartawanan kami, bukan Uncle Sam.

Sempena ulang tahun ke-22 minggu ini, Malaysiakini menawarkan diskaun 22 peratus untuk langganan kami.

Bagi anda yang telah melanggan, terima kasih. Anda mungkin ingin memanfaatkan diskaun dan melanjutkan langganan anda. Anda juga boleh "menghadiahkan" langganan Malaysiakini kepada orang yang disayangi, rakan atau seseorang yang pada pendapat anda boleh mendapat manfaat daripada berita dan pandangan yang kami sediakan. Bagi yang masih belum melanggan, kami setia menunggu.

Sokong generasi Malaysiakini akan datang. Langgan sekarang.


STEVEN GAN ialah pengasas bersama dan ketua pengarang Malaysiakini.