'Pak Lah sihat walafiat'
Pejabat Abdullah Ahmad Badawi hari ini memaklumkan bekas perdana menteri itu berada dalam keadaan sihat walafiat di samping keluarga.
Justeru, pejabatnya menerusi kenyataan menafikan sekeras-kerasnya hantaran tular menerusi Facebook milik 'Mohd Hasni Izuwan' dan 'Saifulzaman Mahmood' berhubung kesihatan perdana menteri kelima itu yang lebih mesra dipanggil Pak Lah.
Menerusi tangkap layar yang turut dikongsikan, kedua-dua pemilik Facebook itu memuat naik status menyatakan bahawa perdana menteri kelima itu telah kembali ke rahmatullah.
"Pihak pejabat memandang serius penularan berita palsu ini dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang menyebarkan berita palsu," demikian menurut kenyataan itu hari ini.
Pihak pengurusan pejabat itu berharap masyarakat dapat memastikan terlebih dahulu kesahihan daripada pihak yang berautoriti sebelum menyebarkan sebarang berita bagi mengelakkan kekeliruan.
Sementara itu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Reezal Merican Naina Merican berkata selain Abdullah, isterinya Jeanne Abdullah juga berada dalam dalam keadaan sihat walafiat.
"Saya baru berbual di telefon dengan Tun Jeanne, mereka sedang bercuti dalam negara ketika ini," katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya.
Sambil meminta supaya penyebaran berita tidak benar dihentikan, Reezal Merican turut mengajak orang ramai mendoakan Abdullah dan Jeanne sentiasa sihat dan dalam peliharaan Allah.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai