Skip to main
Logo Malaysiakini

Pecutan terakhir di Melaka: PN gugat BN, PH gambarkan kedua-duanya tak berfungsi

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PRN MELAKA | Untuk berdekad lamanya, Melaka menjadi kubu kuat Umno yang sukar ditembusi. Pengaruh pembangkang hanya berlingkar di bandar Melaka dan kawasan-kawasan sekitarnya.

Tetapi pada 2018, Pakatan Harapan (PH) meraih pencapaian yang tidak pernah berlaku sebelumnya, menawan hampir keseluruhan Melaka tengah dan meraih 15 daripada 28 kerusi DUN untuk membentuk kerajaan negeri, sehinggalah ia tumbang pada tahun lalu.

Pada masa itu, PH mempunyai beberapa faktor yang menyebelahinya. BN, terutamanya Umno, bergelut dengan pergolakan dalaman. Parti serpihannya, Bersatu bersama-sama pembangkang.

Di bawah teraju bekas perdana menteri Najib Razak, Umno semakin terpalit dengan imej korup dengan skandal 1MDB melibatkan berbilion ringgit.

Buat julung kalinya pada 2018, BN tumpas di Melaka. Namun, di tengah rasa tidak puas hati orang awam pada tahap yang tidak pernah dilihat sebelum ini, Umno tetap berjaya mengekalkan kemenangan kawasan luar bandar. Ia menunjukkan betapa kukuhnya kedudukannya di peringkat akar umbi.

Umno hanya hilang empat kerusi - Telok Mas dan Paya Rumput kepada Bersatu, Durian Tunggal kepada Amanah dan Rembia kepada PKR. Ia kekal memegang 13 daripada 17 kerusi yang dimenangi pada 2013.

MCA dan MIC kehilangan semua empat kerusi yang disandang. MCA kehilangan Kelebang dan Machap Jaya kepada PKR serta Bemban kepada DAP. DAP turut merampas Gadek dari MIC.

Menuju PRN 2021 ini, PH bergelut untuk mempertahankan kerusi-kerusi yang dirampas mereka, dan berdepan risiko hanya mampu bertahan di kawasan tengah sahaja.

Kelebihan yang dimiliki mereka pada 2018, kini sudah tiada lagi. Sebaliknya, ia harus berdepan dengan kemungkinan peratus keluar mengundi yang merosot gara-gara wabak Covid-19, kekecewaan pengundi serta amarah akar umbi terhadap keputusan PKR dan Amanah mempertaruhkan bekas ahli Umno Idris Haron dan Nor Azman Hassan sebagai calonnya.

PH memadamkan api

DAP terutamanya memperuntukkan sebahagian besar tempoh awal kempen untuk mengawal kerosakan dalam isu berkenaan. Parti itu menjelaskan bahawa mereka kalah dengan Amanah dan PKR dalam soal itu, serta merayu para penyokong agar tidak memboikot PRN.

“Kami memahami rasa tidak senang di kalangan penyokong kami atas keputusan ini dan kami mengakuinya tetapi kami telah mencuba sedaya upaya untuk meyakinkan mereka bahawa terdapat isu yang lebih besar yang dipertaruhkan,” kata Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke pada hari kedua kempen.

Idris Haron

Kempen PRN Melaka bermula 8 Nov dan akan tamat pada 19 Nov. Penduduk Melaka akan turun mengundi keesokan harinya.

Seteru mereka, khususnya MCA menggunakan isu itu untuk menggambarkan PH sebagai parti yang “menyukai katak”, dan masih memainkan isu itu sehingga ke hari ini.

Ironinya, sekutu MCA, Umno turut mempertaruhkan bekas wakil rakyat PKR Muhammad Jailani Khamis sebagai calon di Rembia.

Sementara itu, PKR turut harus memadamkan api kemarahan penyokong pada awal tempoh kempen, apabila akar umbi menentang keputusan kepemimpinan untuk menggugurkan penyandang DUN Machap Jaya, Ginie Lim sebagai calon.

Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin turut mengakui bahawa dia sendiri harus berdepan kekecewaan akar umbi atas pencalonannya di Paya Rumput, sedangkan mereka mengharapkan orang tempatan dicalonkan. 

Dengan cabaran didepani PH dan kedudukan kukuh Umno berdasarkan rekod prestasi lampaunya, PRN Melaka nampaknya berpihak kepada BN.

Timbalan pengerusi BN Mohamad Hasan bersama calon Lendu Sulaiman Md Ali

Tetapi PRN kali ini tidak seperti yang sebelumnya. Gabungan ketiga - Perikatan Nasional (PN), muncul sebagai pesaing, mengubah percaturan di gelanggang.

Dinamik baru

Seperti PH, kempen PN juga bermula lembab. Sumber Bersatu memberitahu Malaysiakini bahawa kepemimpinan pusat bimbang terhadap perjalanan kempen PN yang perlahan di peringkat awal, menyebabkan mereka campur tangan.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin sendiri bahkan mengeluh bahawa gabungan itu kelihatan seperti tidak bertanding dan memperuntukkan beberapa hari selepas itu untuk memeriksa jentera PN di Melaka.

Sejak itu, PN memperuntukkan sumber yang besar, daripada video calon yang menarik di media sosial serta iklan pada trak-trak LED untuk mempromosikan calon mereka di layar besar.

Menyedari kekuatan Umno, PN cuba menggambarkan parti itu sebagai mengutamakan kepentingan sendiri dan korup - mesej yang selalunya didengar di kempen-kempen PH. Namun PN percaya ia mempunyai kelebihan untuk merampas undi luar bandar orang Melayu daripada Umno.

PN terdiri daripada Bersatu, PAS dan Gerakan. Sementara Gerakan dijangka tidak memberikan kesan ketara, PAS pula mempunyai penyokong setia yang kecil tetapi signifikan.

PAS bergerak solo pada PRU 2018, dan secara purata, berjaya meraih kira-kira 15 peratus undi.

Dengan undian terpecah antara tiga gabungan, PAS kini menyandarkan keyakinannya kepada Bersatu untuk membawa PN ke garis penamat.

Pun begitu, PAS mendapati faktor agama yang dimilikinya terancam apabila di peringkat persekutuan, kerajaan pimpinan BN memutuskan untuk membenarkan wiski Timah mengekalkan nama itu, meskipun dibantah PAS yang mendakwa ia mengelirukan umat Islam.

Kad kaum dan agama

Abdul Hadi Awang

Pada hari berikutnya, PAS mengumumkan larangan kedai judi di Kedah dan merancang untuk mengehadkan penjualan minuman keras, termasuk di kawasan luar bandar di Langkawi yang bebas cukai.

Ia merupakan subjek sensitif buat PAS, dengan pemimpinnya mengasak wartawan yang bertanya mereka tentang isu berkenaan.

“Masa larangan itu sudah tentu berkebetulan dengan PRN Melaka.

“PN pasti berfikir bahawa dengan mengenakan larangan itu di Kedah, ia boleh mengukuhkan reputasinya berhubung pengurus hal agama dan sekali gus merangsang potensi penyokong Melayu-Islam untuk keluar mengundi, sekali gus meningkatkan prospek kemenangannya," kata penganalisis politik Oh Ei Sun kepada Malaysiakini.

Menurut Awang Azman Awang Pawi, profesor madya di Jabatan Sosiobudaya, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, langkah itu akan menjadi langkah popular dalam kalangan penyokong PAS.

“Tidak ada jaminan (ia) mendapat sokongan dan diterima oleh Melaka, kerana pengundi Melaka lebih sederhana dan memahami hakikat negara yang mempunyai penduduk majmuk yang terdiri daripada pelbagai etnik dan agama,” katanya kepada Malaysiakini.

Sementara itu, PH turut menggunakan isu itu untuk meraih kelebihan.

Dalam ceramah dalam talian pada Sabtu lalu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menggunakan bantahan PAS dalam isu jenama Timah dan langkah Kementerian Wilayah Persekutuan - yang dipegang Umno - untuk melarang penjualan minuman keras di kedai runcit dan kedai serbaneka sebagai contoh BN dan PN mengamalkan ekstremisme dan sentimen perkauman.

Selepas permulaan yang goyah, PH telah merumuskan mesej yang lebih padu dengan menggambarkan BN dan PN sebagai tidak berfungsi, saling menjatuhkan meskipun kedua-duanya sebahagian daripada kerajaan pusat yang memerintah.

“Di pihak kami, tiada pertembungan dalaman, tidak seperti seteru kita. Mereka bukan hanya melawan PH, tetapi juga sesama sendiri,” kata Lim, mempersoalkan kemampuan mereka untuk mentadbir negeri dan menangani pandemik Covid-19.

Adly Zahari

PH turut memberi sokongan buat calon ketua menteri mereka Adly Zahari yang lembut tutur kata, serta memiliki reputasi yang baik di negeri itu.

“Kami berbangga yang bekas ketua menteri kami, Adly diterima oleh semua kaum dan dilihat sebagai pemimpin yang adil,” kata Presiden Amanah Mohamad Sabu semasa ceramah itu.

Dia meletakkan Adly sebagai pemimpin yang berbeza berbanding panglima politik (warlord) tipikal lain yang berebut-rebut dalam perniagaan perlombongan pasir, sebagai satu sumber naungan di tengah penambakan laut yang berleluasa di negeri itu.

Jumlah turun mengundi penting

Oh berkata pengundi bukan Melayu berkemungkinan tidak akan menyokong BN atau PN, meskipun timbul rasa tidak puas hati dengan PH.

Antara pengundi sedemikian ialah Lee, 57 tahun. Mengundi di Kelebang, Lee yang hanya mahu dikenali dengan nama keluarganya itu pernah mengundi MCA pada 2013 tetapi beralih kepada PH pada 2018. Namun, dia tampak kecewa dengan gabungan berkenaan.

“Saya sangat kecewa pada (pengerusi PH) Anwar (Ibrahim) dan keadaan huru-hara politik benar-benar membuatkan saya terkilan. Saya tahu mahu baca berita politik lagi,” katanya.

Apabila ditanya tentang pilihannya, jawab Lee: “Sudah tentu PH. BN dan PN sama saja. Penduduk marah dengan mereka kerana isu-isu ekonomi yang mereka wujudkan semasa pandemik."

Bagaimanapun, PH tetap beringat bahawa ada juga pengundi yang membuat keputusan untuk tidak mengundi.

PH lazimnya terjejas apabila kadar turun mengundi rendah, memandangkan ia lebih bergantung pada pengundi muda yang banyak tinggal di luar negeri.

Pengundi BN yang sebelum ini mencuba nasib dengan PH gara-gara skandal yang dikaitkan dengan gabungan itu, mungkin beralih pula kepada PN.

Pembantu kedai berusia 26 tahun yang mahu dikenali sebagai Damini berkata, keluarganya yang merupakan penyokong BN mencuba nasib dengan beralih mengundi PH pada 2018.

“Tetapi sekarang saya lebih suka PN. Saya akan sokong abah (Muhyiddin) kerana dalam dua tahun dia menjadi perdana menteri, saya suka gayanya dan cara dia bercakap,” katanya.

Mencabar dominasi Umno

Walau bagaimanapun, jika ada parti yang mungkin paling teruk terbidas dengan keberadaaan PN, maka ia adalah BN. Gabungan itu berkongsi prospek undi yang sama, iaitu orang Melayu di luar bandar.

PN telah membuktikan dirinya sebagai wildcard (faktor luar jangka), menjadikan gelanggang banyak penjuru di PRN Melaka sukar diramal.

Bergantung setakat mana BN akan terjejas kerana PN, perubahan boleh berlaku mengikut mana-mana arah sekalipun.

Dalam pertembungan tiga penjuru, jika kesan PN adalah minimum terhadap prestasi BN, maka BN boleh menang besar. Jika PN mempunyai kesan sederhana terhadap prestasi BN tetapi tidak cukup untuk menang, maka yang mendapat manfaatnya adalah PH.

PN perlu merampas sejumlah besar pengundi BN untuk muncul sebagai pemenang di Melaka.

Parti-parti bertanding turut berdepan kesukaran untuk berkempen kepada para pengundi dengan larangan kempen fizikal ekoran pandemik Covid-19. Larangan itu menerima kritikan bahkan daripada sekutu kerajaan pusat sendiri.

Ini menyebabkan jentera pilihan raya dari semua parti menjadi lebih kreatif - menggunakan apa sahaja lompong dan kekaburan dalam prosedur operasi standard (SOP) oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Antaranya ramai calon yang bersarapan berkali-kali di warung berbeza setiap pagi di kawasan mereka, dengan harapan untuk bertemu dengan pengundi. Makan di kedai tidak dilarang.

Calon PH di Kelebang Gue Teck dan pengerusi PH Anwar Ibrahim

Ada calon yang melawat ke rumah-rumah ibadat kerana mahu bersembahyang.

“Kami perlu tunjuk muka kepada pengundi,” kata calon Bemban dari Bersatu Dr Yadzil Yaakub, “jadi memandangkan SOP yang ketat, kami harus pandai-pandailah.”

Menurut Yadzil, dia harus menggunakan peluang bersarapan di kedai dan bersembahyang di masjid untuk bertemu penduduk memandangkan mereka dilarang mengadakan sebarang program rasmi.

Main sorok-sorok

Bagaimanapun, aktiviti itu banyak juga dilakukan secara diam-diam kerana bimbang dengan pemeriksaaan oleh pihak berkuasa.

Sebagai contoh, PH merungut bahawa pihak berkuasa kesihatan menyerbu mesyuarat majlis presidennya, sementara acara BN yang dihadiri Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob turut dikompaun RM20,000.

Seorang calon yang tidak mahu dinamakan memberitahu Malaysiakini yang dia akan berpura-pura keluar membeli belah untuk bertemu pengundi.

Bagi mengelak daripada dikesan, parti-parti politik turut dilihat menggunakan taktik seperti menyebarkan jadual kegiatan calon yang sebenarnya palsu bagi mengelak pemeriksaan mengejut pihak berkuasa.

Ada juga yang membuat keputusan untuk langsung tidak berkongsi jadual mereka manakala ada jurukempen yang melindungi identiti dengan memakai topeng dan berpakaian seperti karakter dalam siri Netflix, Squid Game.

Dengan berbaki hanya lima hari lagi tempoh kempen, PH mungkin akan cuba mengekalkan sokongan pengundi sedia ada.

PKR telah menggariskan apa yang diyakini sebagai jalan menuju kemenangan, tetapi jalannya sempit dengan melibatkan Idris dan Nor Azman yang cuba merebut Asahan dan Pantai Kundor dari BN.

Sementara itu BN yang tampak kekal yakin, harus menangkis cubaan PN untuk mengetepikan kedudukan dominannya.

 Penduduk Melaka akan mengundi pada 20 Nov untuk memilih 28 wakil rakyat, selepas tempoh kempen 12 hari.

Keputusan PRN Melaka ini adalah penting memandangkan ia boleh menggariskan takrifan baru hubungan gabungan politik menuju PRU15.

Laporan oleh Hariz Mohd, Low Choon Chyuan, Yasmin Ramlan, Raveena Nagotra dan Phung Wie Yie Wen