Skip to main
Logo Malaysiakini

Ummah tidak puas hati kerajaan benarkan nama 'Timah' dikekalkan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Gerakan Pembela Ummah (Ummah) tidak berpuas hati berhubung keputusan Kabinet membenarkan penggunaan nama 'Timah' bagi wiski keluaran syarikat tempatan, Winepark Corp Sdn Bhd (Winepark) dikekalkan.

Presiden Ummah, Mohd Zai Mustafa berkata penggunaan nama Timah bagi produk itu tiada kaitan yang boleh dibuktikan secara akademik dengan perlombongan bijih timah di Malaysia.

"Minuman arak ini masih mesra kepada budaya negara kita, sedangkan banyak lagi nama yang boleh digunakan daripada barat yang sinonim membawa budaya mabuk ini kepada rakyat negara kita.

"Arak jenama Timah ini tiada kaitan dengan sejarah yang boleh dibuktikan secara akedemik dengan perlombongan bijih timah di Malaysia, malah menambah buruk lagi masyarakat perkerja di sektor perlombongan yang boleh dikaitkan dengan gambaran budaya mabuk," katanya kepada Malaysiakini.

Dua hari lalu, Kabinet bersetuju untuk membenarkan syarikat pengeluar wiski tempatan mengekalkan jenama Timah di sebalik bantahan sesetengah pihak.

Perkara itu dimaklumkan dua menteri, iaitu Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Alexander Nanta Linggi dan Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong.

Alexander dan Wee menyatakan pengeluar wiski berkenaan, Winepark cuma perlu meletakkan maklumat tambahan berupa label bagi menjelaskan bahawa minuman keras itu merujuk kepada bijih timah dan bukannya nama sesiapa.

Dalam satu kenyataan berbahasa Cina di laman Facebooknya hari ini, Wee yang juga presiden MCA berkata kabinet telah menyelesaikan kontroversi itu.

“Dalam beberapa mesyuarat kabinet baru-baru ini, anggota jemaah menteri membincangkan perkembangan terkini isu Timah.

“Saya gembira insiden ini berjaya diselesaikan selaras dengan semangat Keluarga Malaysia.

“Timah tidak perlu menukar namanya. Pengilang telah bersetuju untuk memasukkan penjelasan tentang asal usul (nama) Timah. Maksud asal Timah merujuk kepada bijih timah - yang berkaitan dengan perlombongan bijih timah,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Zai berkata Kabinet sepatutnya bertegas bagi menukar nama wiski berkenaan kepada jenama lain.

Ia bagi mengelak daripada Malaysia turut dikenali sebagai negara pengeluar arak.

"Seharusnya Kabinet boleh bertegas bagi menukar nama minuman ini kepada jenama lain yang tidak boleh dikaitkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang mengeluarkan minuman arak," katanya.

Ketika mula mengundang perhatian bulan lalu, syarikat pengeluarnya menjelaskan bahawa merujuk kepada bijih timah yang banyak terdapat dengan negara ini suatu ketika dahulu, manakala imej lelaki pada labelnya pula ialah Kapten Speedy, yang dikatakan sebagai individu yang memperkenalkan budaya minuman berkenaan pada era pentadbiran British.