PULASAN | Antara sentap dan 'koyak' seorang menteri
PULASAN | Seperti dijangka tindakan menteri agama yang tangkas 'bersilat' menepis soalan wartawan mengenai isu lesen judi di Kedah dibela orang yang ada di sekitarnya. Ia adalah perkara yang sangat tidak aneh.
Jika Idris Ahmad tidak dibela oleh PAS, barulah aneh.
Suatu ketika yang tidak lama dulu pun, orang membela Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor selepas pemimpin besar PAS itu didakwa memandu uji kereta mewah di negeri yang selalu dikutuknya.
Malah orang yang mempertikaikan tindakan Sanusi itu dibingkaikan sebagai individu yang berniat tidak baik atau ada hubungan dengan Pakatan Harapan.
Dan terbukti tidak lama selepas itu Sanusi dikenakan kompaun oleh pihak berkuasa.
Bahawa sesetengah orang sememangnya mahir apabila berkata-kata semasa berhujah - walaupun pada ketika tertentu hujahnya akan 'ke laut' atau berputar-putar di sekitar bulatan tidak berkesudahan - adalah sebab mengapa tidak perlu bagi orang yang bijak membuang masa menuntut penjelasan bagi hal-hal yang melibatkan politik PAS.
Tiba-tiba Idris Ahmad bertindak membuli wartawan sebuah portal berita. Secara umumnya naib presiden PAS itu bukanlah menghadiri majlis perbahasan di parlimen atau debat dengan pembangkang sehingga emosinya boleh terganggu sebelum dia ditanya soalan mengenai lesen judi di Kedah.
Selalu berasa benar
Idris bersama Timbalan Menteri Sumber Manusia Awang Hashim baru saja menghadiri majlis Perikatan Nasional (PN) ketika gabungan itu ditampilkan bersedia dan penuh yakin untuk menguasai Melaka.
Sudah tentu mereka berada dalam keadaan yang bersemangat dan mood yang baik.
Tetapi Idris dan Awang melayan wartawan yang bertanya dengan begitu angkuh sekali. Sudahlah ditanya sama ada wartawan terbabit seorang warganegara Malaysia atau tidak, dia - seorang wanita - kemudian ditanya bagaimana pandangannya jika bersuamikan kaki judi.
Justeru agak sukar memahmi bagaimana Idris dan Awang senada melayan seorang wartawan sebegitu. Kecuali kita memahmi psyche PAS dan ahlinya. Dan ada juga kemungkinan Idris serta Awang terlupa bahawa mereka sudah menjadi kerajaan sekarang. Mereka cuma ingat bahawa mereka sentiasa benar.
Kita memahami bahawa bagi PAS politik mereka adalah mudah. Asalkan sesuatu itu mengikut pandangan atau kecenderungan mereka, ia adalah betul, benar, tepat dan sahih.
Sebaliknya jika ia tidak sealiran dengan mereka, maka ia diposisikan sebagai salah, sesat, keliru, malah boleh saja mencapai tahap munafik, kafir dan neraka.
Justeru ada pandangan yang menganggap 'Islam' mungkin salah, tetapi tidak mungkin PAS salah.
Islam yang dimaksudkan 'salah' itu ialah Islam yang difahami serta diamalkan oleh sesiapa saja selain PAS. Dan kebanyakan orang PAS memang yakin bahawa Islam itu PAS, dan PAS itu Islam.
Dalam keadaan begitulah barangkali Idris dan Awang menjawab soalan wartawan berkenaan.
Sebenarnya ada isu lain yang lebih besar dan meresahkan. Iaitu bagaimana sebenarnya sikap PAS kepada demokrasi di negara ini ketika kita melihat satu demi satu kebebasan yang ada disempitkan.
Sebelum ini, pemimpin PAS adalah antara orang yang gigih mengulang-ulang kata bahawa rakyat sudah tersalah membuat pilihan dalam pilihan raya umum (PRU) lalu sehingga mereka bertindak "secara demokratik" untuk membetulkan keadaan.
Tak perlu angkuh menjawab
Nah, selain 'Islam' yang mungkin salah, PAS juga nampaknya begitu bernafsu memberikan takrifan benar atau salah kepada demokrasi. PRU memberi ruang kepada orang ramai yang cukup syarat-syaratnya membuat pilihan menentukan kerajaan sendiri.
Mereka sudah bersuara pada 9 Mei 2018 dan ia diketahui ramai. Tiba-tiba PAS - dan beberapa pemimpin parti lain - asyik mengulang-ulang ayat bahawa rakyat tersalah pilih. Masalahnya mereka bukan saja mendakwa rakyat tersalah pilih tetapi memaksakan pula pilihan mereka ke atas rakyat seperi yang berlaku melalui Langkah Sheraton.
PAS kemudian mendabik dada mengaku membetulkan keadaan.
Sebenarnya PAS ini dengan demokrasi, bagaimana?
Kebebasan media adalah salah satu tiang utama dalam amalan demokrasi. Benar, ia tidaklah bebas secara mutlak, namun bertanyakan soalan yang wajar kepada pemimpin mengenai dasar negara sudah tentu bukan keterlaluan. Dan ia tidaklah berbentuk provokasi. Atau adakah Idris dan Awang berasa mereka diprovok kerana soalan itu berbahasa Inggeris?
Andainya memang bersifat provokasi (dan diulangi bahawa soalan tersebut bukanlah bersifat provokasi) adakah ulama sehebat Idris akan cepat benar 'koyaknya' sehingga boleh menjawab dengan angkuh sekali?
Tugas wartawan ialah menanyakan apa-apa yang dirasakan perlu diberitahu kepada umum. Terserah kepada seseorang itu - seperti Idris - untuk menjawabnya atau tidak. Ia boleh dibuat dengan kata-kata yang baik dan teduh.
Bukannya membalikkan soalan yang diterima daripada wartawan dan menjadikannya bersifat peribadi. Seperti menyandarkan soalan kepada hidup wartawan, misalnya.
Rasa terkilan juga melihat kejadian berkenaan ketika kita tahu Idris itu pernah menjadi ketua penerangan PAS. Media rasmi parti pernah berada di bawah tanggungjawabnya. Dan dia menguruskan soalan yang datang dengan cara yang menjengkelkan.
Bersangka buruk dengan menganggap orang lain kerjanya hanya mahu memburukkan parti kita juga bukanlah sikap terpuji, lebih-lebih lagi apabila melibatkan seseorang yang dikenali sebagai agamawan.
Tunjuk teladan terpuji
Benar juga, PAS sehari dua ini kelihatan membawa parti itu sebagai pejuang bahasa Melayu secara tiba-tiba. Kita pun faham mengapa. Namun sebagai pejuang kita sepatutnya membiasakan diri dengan berkata-kata dengan bahasa Melayu yang baik.
Menggunakan "you" dan "I" bersama-sama perkataan bahasa Melayu yang lain sudah tentu bukan imej pejuang yang baik.
Saya pernah menyatakan dalam tulisan terdahulu bahawa sepatutnya orang yang paling akhir 'koyak' dengan media atau kata-kata kritikan di media ialah ilmuan Islam, khususnya dalam kalangan penceramah yang garang di pentas ceramah, meja kuliah masjid dan usrah.
Malulah sedikit kepada mikrofon itu apabila kita yang selalu membangkitkan semangat anak bangsa agar menjadi si pemberani dan pejuang serta menginfakkan diri ke medan juang yang penuh mehnah tetapi tiba-tiba terkoyak emosinya hanya dengan soalan wartawan.
Menjadi orang politik tidak boleh cepat 'koyak' tetapi menjadi orang politik sekali gus agamawan meletakkan seseorang itu perlu menunjukkan teladan yang terpuji semasa menguruskan 'cabaran' di depannya.
Namun kita akan menjangkakan Idris dan Awang - serta penyokong PAS - tidak akan menganggap ia suatu kesalahan. Malah mungkin akan ada yang menganggap kedua-dua pemimpin PAS itu melakukan sesuatu yang mengangkat martabat Islam.
Benar, demokrasi itu ada cacat celanya. Ia sudah tentu tidak sempurna. Namun buat masa ini ia adalah ruang yang terbaik untuk berpolitik khususnya di negara ini. PAS sendiri berkali-kali menegaskan bahawa mereka berpolitik secara demokrasi.
Namun pada amalannya, kadang-kadang ia meragukan juga. Justeru apakah kita perlu tanyakan sekali lagi: PAS ini dengan demokrasi sebenarnya bagaimana?
AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini.
Tulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi portal berita ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai