Skip to main
Logo Malaysiakini

Kajian: 47% rakyat M'sia tak pasti atau tak sokong kesaksamaan gender

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kajian terbaru yang dijalankan oleh Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) mendapati hampir separuh daripada rakyat Malaysia, atau bersamaan 47 peratus berasa tidak pasti atau tidak menyokong kesaksamaan gender.

Hasil kajian itu menunjukkan majoriti responden menunjukkan sikap negatif atau tidak pasti terhadap ketidaksamaan gender, dan cenderung menafikan ia merupakan satu masalah.

Kajian itu dijalankan oleh Isabel Chung, Anis Farid dan Shazana Agha dari WAO, dengan tinjauan 80 soalan diedarkan dalam kalangan 1,000 peserta daripada jantina, kumpulan umur, etnik dan latar belakang yang berbeza.

Ia menumpukan 13 penemuan utama, sebahagian besar daripadanya mencerminkan realiti sikap dan persepsi rakyat Malaysia terhadap keganasan terhadap wanita dan ketidaksamaan gender.

Menurut WAO, 38.2 peratus daripada peserta tidak menghiraukan hak wanita untuk bersetuju mengenai perkara yang menjejaskan golongan itu dan 48 peratus menunjukkan sikap yang memperkecilkan kebebasan wanita dan membuat keputusan dalam kehidupan peribadi mereka.

Kajian itu menunjukkan terdapat percanggahan antara pengetahuan dan amalan mengenai keganasan terhadap wanita, yang bermaksud orang ramai boleh mengenal pasti tingkah laku ganas tetapi gagal mengamalkan perkara yang sama dalam senario harian.

“Jadi, walaupun responden dapat menentukan bentuk keganasan rumah tangga, mereka masih menganggap ia adalah normal dan boleh diterima dalam situasi tertentu.

"Sebagai contoh di sini, 96.5 peratus daripada responden kami menyedari bahawa jika seseorang dalam hubungan rumah tangga menampar atau memukul pasangannya, itu adalah keganasan rumah tangga," kata Chung.

Angka yang membimbangkan

Laporan itu menunjukkan 53.3 peratus daripada mereka masih percaya keganasan rumah tangga adalah tindak balas biasa terhadap tekanan dan kekecewaan yang berlaku setiap hari, 43 peratus berpendapat wanita kadang-kadang boleh membuat lelaki marah sehingga memukulnya dengan tidak sengaja, dan 30 peratus percaya wanita yang bergaul bebas sepanjang masa perlu dipersalahkan jika pasangan mereka cemburu dan memukul mereka.

Kajian itu juga mendapati sebahagian kecil rakyat Malaysia menunjukkan sikap tidak peduli terhadap mangsa keganasan rumah tangga, dengan 37.1 peratus daripada mereka percaya bahawa meninggalkan hubungan yang menganiayakan tidak sukar seperti dikatakan, dan 44.9 peratus berpendapat mangsa wanita yang tinggal bersama pasangan yang melakukan penganiayaan harus bertanggungjawab terhadap penderaan yang berterusan.

Ia menunjukkan walaupun responden yang menunjukkan sikap negatif terhadap keganasan ke atas wanita dan kesaksamaan gender adalah kecil, masalah ini diburukkan lagi dengan sebilangan besar responden menunjukkan ketidakpastian terhadap tingkah laku tersebut.

Laporan itu menjelaskan bahawa responden yang tidak pasti, atau berkecuali dengan perkara itu, boleh dilihat sebagai ketidakpercayaan terhadap laporan keganasan ke atas wanita, kerana responden kurang menyatakan pendirian atau bersuara menentangnya.

“Membimbangkan, lebih satu pertiga daripada responden tidak mempercayai laporan keganasan terhadap wanita.

“Kami berpendapat bahawa ini menunjukkan keengganan untuk bercakap menentang naratif palsu ini. Malah, ia juga boleh menandakan kepercayaan secara kolektif bahawa mengambil pendirian untuk menyokong atau menentang adalah tidak perlu.

"Ini akhirnya mewujudkan persekitaran di mana wanita takut untuk mendapatkan bantuan dalam kes penderaan," kata Chung.

Sekurang-kurangnya 70 peratus rakyat Malaysia berkata mereka mengetahui mesej awam terhadap keganasan rumah tangga dan gangguan seksual, tetapi hanya 6.7 peratus dan 29.9 peratus daripada mereka menemukan mesej awam yang menentang rogol dan perbuatan mengendap (stalking).

Kajian itu mendapati 'mitos rogol' bermakna sikap dan keyakinan yang membenarkan pencerobohan seksual lelaki terhadap wanita, berleluasa di Malaysia.

Ini disokong oleh lebih 80 peratus responden yang mengatakan rogol berlaku apabila lelaki tidak dapat mengawal keinginan seksual mereka, atau berada di bawah pengaruh alkohol dan dadah.

Kira-kira separuh daripada responden, masing-masing 51.3 peratus dan 49.1 peratus daripada kedua-dua jantina, juga berpandangan bahawa rogol berlaku disebabkan wanita tidak menjaga perilaku mereka atau cara mereka berpakaian.

[Baca berita penuh]