Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis tahan lelaki berjalan bawa dadah RM110,000

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Seorang pemuda ditahan polis ketika sedang berjalan bersama sejumlah dadah jenis pil kuda dan heroin di Rantau Panjang, Kelantan dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas ACP Nasaruddin Md Nasir berkata suspek yang berusia 30 tahun itu dilihat dalam keadaan mencurigakan di kawasan parkir sebuah taman perumahan.

Katanya sebaik menyedari kehadiran polis lelaki terbabit cuba melarikan diri.

Bagaimanapun, katanya, polis berjaya menahan lelaki berkenaan walaupun berlaku pegelutan.

"Pada masa sama suspek mencampakkan sebuah bungkusan berwarna di atas tanah hadapan tempat letak kereta tersebut.

"Pemeriksaan lanjut mendapati bungkusan tersebut mengandungi pil kuda seberat 800 gram dan heroin seberat 67.5 gram yang dianggarkan bernilai RM110,000," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata Nasaruddin tangkapan dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) dan 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Hasil ujian saringan air kencing juga didapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

"Siasatan awal mendapati suspek mengaku bahawa kesemua barang kes adalah miliknya," kata Nasaruddin.