Skip to main
Logo Malaysiakini

Gerakan berhajat temui Sanusi selesaikan isu lesen premis judi

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Parti Gerakan akan mengadakan lawatan ke Kedah untuk bertemu menteri besar negeri itu, Muhammad Sanusi Md Nor, berhubung isu lesen premis judi yang banyak diperkatakan sekarang.

Presiden Gerakan Dominic Lau berkata kunjungan parti itu dibuat bagi membolehkan mereka memahami isu yang berlaku dan dirancang akan dilaksanakan selepas PRN Melaka berakhir.

Kata Lau memang Gerakan mengakui tiada agama yang menggalakkan aktiviti judi namun kerajaan Kedah diharap dapat menerima realiti bahawa negara ini didiami masyarakat berbilang kaum.

"Orang bukan Melayu (Islam) mesti dihormati juga di peringkat perlembagaan," katanya kepada media di Melaka hari ini.

Selain itu Lau berkata Gerakan juga bimbang jika keputusan kerajaan Kedah itu akan menyebabkan berkembangnya kegiatan perjudian tanpa lesen sehingga ke tahap tidak boleh dikawal.

"Kita tak mahu masalah ini berlaku di negara kita," katanya yang yakin mampu menyelesaikan isu berkenaan dengan baik.

Pada 14 Nov lalu Sanusi berkata kerajaan Kedah dipetik sebagai berkata, lesen semua kedai nombor ekor di negeri itu tidak akan diperbaharui lagi kerana kegiatan tersebut menyebabkan keruntuhan institusi kekeluargaan, selain masalah hutang.

“Saya Islam tak boleh main judi. Nanti kat akhirat saya kena tanya, aktiviti macam ni anda buat apa? Kalau saya cakap saya tak buat, saya kena tibai," katanya. 

Sanusi juga berkata pengusaha premis perjudian di Kedah boleh mencari alternatif lain yang bersesuaian untuk kelangsungan pendapatan mereka selepas ini.

Katanya pengusaha terbabit perlu menjadi kreatif meneroka peluang perniagaan baru yang dapat menjana pendapatan sendiri dan bukan hanya mengharapkan aktiviti perjudian itu. 

Kata Lau Gerakan tetap menghormati sebarang keputusan dibuat kerajaan sama ada di peringkat negeri atau pusat kerana masing-masing mempunyai bidang kuasa sendiri.

Pada masa sama katanya situasi di negara ini "lain sikit" kerana memiliki rakyat berbilang kaum, agama dan budaya.

"Kami juga banyak terima aduan daripada orang Cina, orang India yang mengatakan bahawa menjadi hak mereka (untuk berjudi).

"Bukan mereka suka berjudi tapi kita mahu katakan bahawa perlembagaan negara memang memberi hak kepada rakyat dan mereka ada hak diri sendiri.

"Oleh itu kami akan buat satu lawatan kepada MB Kedah dan kita mintalah untuk pertimbangkan perkara-perkara (seperti) berbilang kaum itu (supaya) nak jaga sikit sentimen orang bukan Islam atau bukan Melayu," tambahnya.

Ketika ditanya wartawan sama ada Gerakan berpendapat langkah Kedah itu akan menjejaskan peluang Gerakan untuk mendapatkan sokongan pengundi di Melaka, Lau tidak memberikan jawapan secara langsung.

"Ia dua isu yang berbeza, tak boleh bawa isu ini di PRN Melaka," katanya.