‘Seumur hidup tidak pernah saya beli nombor ekor tapi...'
Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata adalah salah bagi kerajaan cuba mengawal moral orang bukan Islam, susulan tindakan kerajaan negeri Kedah yang tidak akan memperbaharui lesen semua kedai nombor ekor di negeri berkenaan dan bantahan PAS terhadap nama arak keluaran tempatan.
“Saya kini berusia 80 tahun dan saya tidak pernah seumur hidup saya membeli nombor 4D (pertaruhan ramalan nomber ekor).
“Tetapi cubaan untuk mengawal moral seperti ini dalam masyarakat pelbagai kaum, agama, dan budaya adalah satu perbuatan yang salah, bersifat ekstremis, dan tidak bertoleransi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sambil menyifatkan Malaysia sebagai titik pertemuan empat budaya tamadun hebat dunia -- Melayu/Islam, Cina, India, dan Barat, Lim berkata negara ini sepatutnya memanfaatkan nilai bersama dan bukannya perbezaan mereka.
“Mengapakah rakyat Malaysia perlu bergaduh mengenai perbezaan keagamaan atau tamadun lampau mereka?
“Sebaliknya kita perlu mengambil kedudukan bertoleransi terhadap kepelbagaian agama, budaya, dan tamadun yang bertemu di negara kita ini untuk menjadi sebuah negara hebat yang berkelas dunia,” kata pemimpin veteran itu.
Lim berkata bahawa prinsip-prinsip pembinaan negara bangsa yang termaktub dalam Rukun Negara telah menetapkan agenda untuk membina cara hidup demokratik bagi mewujudkan masyarakat yang adil dan menjamin pendekatan liberal dalam memelihara nilai-nilai tradisi.
Bagaimanapun, kata Lim, hari ini terdapat anggota kabinet yang tidak mematuhi prinsip itu dan mempersoalkan jika konsep "Keluarga Malaysia" Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob masih berpegang kepada Rukun Negara.
“Sekiranya PAS ini menerima prinsip dan matlamat Rukun Negara serta matlamat untuk Utamakan Malaysia, maka Menteri Besar Kedah dari PAS tidak akan cuba untuk menimbulkan isu larangan perjudian untuk memancing undi di Melaka atau cuba menggunakan isu wiski Timah untuk tujuan politik.
“Saya seru pengundi di Melaka untuk memberikan pengajaran kepada calon PAS, PN dan BN dalam PRN Melaka pada 20 November ini, kerana rakyat Melaka dan rakyat Malaysia dapat membayangkan kekecohan dan kekeliruan dalam negara sekiranya kelima-lima prinsip pembinaan negara bangsa ini ditolak,” katanya.
Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor, semasa berucap pada pembentangan Bajet 2022 Kedah dipetik sebagai berkata kerajaan negeri akan mengharamkan semua kedai nombor ekor daripada terus beroperasi dengan tidak memperbaharui lesen perniagaan mereka.
Walaupun industri perjudian dikawalselia oleh Kementerian Kewangan di Putrajaya, kerajaan tempatan boleh menafikan lesen untuk sesuatu premis menjalankan perniagaan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai