Skip to main
Logo Malaysiakini

Projek tambak laut: Abim anggap Ab Rauf tak bertanggungjawab

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PRN MELAKA | Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) melahirkan kebimbangan mereka berhubung kenyataan dibuat oleh Pengerusi Umno Melaka, Ab Rauf Yusoh, mengenai projek penambakan laut di perairan negeri.

Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz, berkata kenyataan Ab Rauf bahawa nelayan di negeri terbabit masih boleh menjalankan aktiviti perikanan meskipun terdapat projek tambakan laut adalah tidak bertanggungjawab.

"Abim menilai kenyataan beliau bahawa nelayan masih boleh meneruskan kehidupan kerana permukaan laut yang luas sebagai tidak bertanggungjawab dan seakan-akan tidak mempedulikan nasib golongan terbabit yang terkesan akibat perubahan ekosistem hidupan marin yang ditangkap khususnya udang geragau (bahan untuk membuat belacan dan cencaluk) yang hidup secara khusus di persisir pantai.

"Abim juga menzahirkan kebimbangan terhadap perlaksanaan projek tambakan yang merupakan sebahagian daripada Zon Ekonomi Pesisir Pantai Melaka (M-WEZ), yang dimuatkan dalam manifesto BN," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam temu bual dengan Malaysiakini semalam, Ab Rauf yang juga calon BN untuk kerusi DUN Tanjung Bidara berkata nelayan di Melaka masih boleh menjalankan aktiviti perikanan seperti biasa kerana kawasan laut luas dan bukan hanya terhad di kawasan penambakan.

Ab Rauf berkata, isu penambakan laut di negeri bersejarah itu merupakan perancangan yang dibuat oleh kerajaan negeri untuk menarik pelabur di kawasan-kawasan yang berpotensi untuk dimajukan.

Sumber makanan hidupan laut

Kata bekas speaker DUN Melaka itu, dengan adanya nilai tambah penambakan laut itu, banyak pelabur akan datang untuk melabur dalam industri perhotelan dan perindustrian sekali gus memberikan pulangan yang baik kepada kerajaan negeri.

Muhammad Faisal berkata alasan bahawa penambakan laut telah lama diadakan tidak seharusnya dijadikan justifikasi untuk Ab Rauf berkata demikian.

Menurutnya, hal itu kerana rungutan dan kebimbangan rakyat Melaka terhadap projek itu adalah realiti berdasarkan penambakan laut yang berlaku sebelum ini.

"Tambakan laut akan mempengaruhi perubahan arus ombak sehingga boleh mengakibatkan hakisan dan banjir, selain mengakibatkan kemusnahan batu karang serta habitat hidupan marin termasuk penyu di Pulau Upeh yang termasuk dalam jangkauan kawasan bakal menerima kesan daripada penambakan laut.

"Selain itu, perlu ditegaskan pesisiran pantai juga terutamanya paya bakau adalah sumber makanan kepada hidupan laut.

"Sekiranya rantaian ini diputuskan maka jumlah ikan di laut boleh mengalami kepupusan dan ia belum mengambil kira kesan pencemaran yang berlaku di laut lagi," katanya.

Ab Rauf Yusoh

Atas dasar itu, Muhammad Faisal berkata Abim menyeru pengundi Melaka mengambil peranan menyedarkan pemimpin politik yang bertanding agar mereka komited menghentikan projek yang menjejaskan ekosistem serta hidupan alam tersebut.

Dia juga menggesa pengundi mendesak pemimpin politik menguruskan pentadbiran alam secara berhemah dengan tidak memberikan kesan buruk kepada rakyat.

Abim juga, katanya, menggesa calon parti-parti yang bertanding mengambil berat terhadap isu krisis iklim di Melaka.

"Abim menggesa pemimpin politik yang bertanding memberikan komitmen penuh untuk melaksanakan perubahan dalam urus tadbir melibatkan isu alam sekitar dan kelangsungan iklim dengan mengehadkan kuasa mutlak ketua menteri serta exco dalam membuat keputusan perkara-perkara yang dilihat boleh menjejaskan alam seperti penambakan laut dan pembukaan tanah baru," katanya.

Dua kali ganda Putrajaya

Penyelaras Malaysian Interfaith Climate Change Network (MICCN) itu juga berpendapat PRN Melaka adalah ruang untuk pengundi menilai dan memilih secara rasional pemimpin yang mampu membela nasib rakyat di negeri itu.

Katanya pengundi tidak wajar memberikan sokongan hanya atas faktor sentimen kepartian semata-mata.

Pada 14 Nov lalu, Malaysiakini melaporkan rungutan nelayan Melaka terhadap beberapa projek penambakan laut sejak beberapa tahun kebelakangan ini yang diteruskan oleh kerajaan negeri.

Projek-projek itu, kata mereka, memusnahkan ekosistem dan persekitaran, mengusir hidupan marin pantai dan menjejaskan kehidupan mereka.

Bekas ketua menteri, Sulaiman Md Ali, semasa mengumumkan Manifesto BN pada 10 Nov lalu menguar-uarkan M-WEZ sebagai pemacu ekonomi utama Melaka dan akan menjana sekitar 10,000 pekerjaan dalam masa lima tahun.

Malaysiakini meneliti perincian projek berkenaan dan mendapati ia akan melibatkan kerja-kerja penambakan yang luas, meliputi sekitar separuh daripada garis pantai keseluruhan Melaka, memberi kesan kepada bukan hanya Pantai Kundor, tetapi juga tujuh lagi kawasan pesisir pantai yang lain.

Menurut laman web M-WEZ, projek mega itu melibatkan kawasan seluas 10,000 hektar - atau dua kali ganda saiz Putrajaya - di sepanjang garis pantai sejauh 33km dan akan dibahagikan kepada lima seksyen.

Bermula dari pantai Sungai Udang, M-WEZ akan menjangkau sepanjang Pantai Kundor hingga Kelebang, Kesidang, Kota Laksamana, Bandar Hidir, Telok Mas, sehinggalah ke bahagian utara Serkam.