Skip to main
Logo Malaysiakini

Anggota polis ditahan, disyaki minta rasuah dari warga Palestin

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Seorang anggota polis ditahan susulan tular satu rakaman suara yang menceritakan kisah salah laku anggota polis berkenaan yang melakukan pemerasan terhadap seorang lelaki warga Palestin berhampiran sebuah sekolah rendah di Jalan Gombak di Kuala Lumpur pada 9 Nov lepas.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Zainal Mohamed Mohamed berkata lelaki berusia 22 tahun itu ditahan semalam di sekitar Gombak bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melakukan pemerasan.

Beliau berkata suspek yang bertugas di Balai Polis Gombak disyaki meminta sejumlah wang rasuah bagi melepaskan seorang lelaki daripada diambil tindakan terhadap kesalahan gagal menunjukkan passport yang sah.

“Warga asing bersama anaknya itu ditahan di sekatan jalan raya semasa sedang dalam perjalanan ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia kerana tidak membawa pasport dan hanya menunjukkan gambar pasport di dalam telefon bimbit.

“Anggota polis berkenaan disyaki meminta sejumlah wang rasuah (jumlah wang masih dalam siasatan) bagi melepaskan mereka daripada mengambil tindakan atas kegagalan menunjukkan pasport yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tambahan berhubung isu ini, agar menghubungi Pegawai Penyiasat kes Insp Mohd Fildza Che Ibrahim di talian nombor 03-61262222 atau 016-9537372.

- Bernama